Penganalisis berbeza pandangan berkaitan kerjasama Umno-Pas
Ramai yang beranggapan Umno, selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, begitu terdesak untuk membentuk pakatan pembangkang dengan Pas sedangkan permasalahan dalaman parti itu patut menjadi keutamaan ketika ini.
“Umno adalah parti yang sepatutnya lebih dominan kerana ia lebih kuat daripada Pas dari segi bilangan kerusi (di Parlimen). Saya fikir tidak ada harapan bagi hubungan Umno dan Pas pada masa depan.
“Kalau dilihat dari sudut sokongan orang Pas kepada Umno yang masih tidak mesra tidak ada untungnya bagi parti itu mengadakan jalinan mesra bersama Pas kerana terbukti Pas bukanlah rakan gabungan yang baik,” kata Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu lapor Bernama semalam.
Md Shukri berkata pandangan ‘jijik’ terhadap Umno masih menebal dalam kalangan penyokong Pas dan mereka masih menganggap Umno sebuah parti yang zalim dan tidak memenuhi kehendak Islam.
Dalam pada itu, beliau berkata tiada salahnya jika barisan kepimpinan Umno menyertai komponen Pakatan Harapan (PH) dan bersama dengan kerajaan hari ini.
“Dengan Umno yang mempunyai pengalaman (menjadi kerajaan) dan penyokong sendiri jadi saya fikir hal ini mungkin boleh dirundingkan. Bila kita bercakap tentang Umno, kita jangan fikir tentang pemimpinnya. Jangan fikir tentang (bekas Presiden) Datuk Seri Mohd Najib Razak dan (Presiden) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tetapi kita harus fikir apa yang terbaik untuk anggota Umno dan rakyat,” katanya.
Bagaimanapun, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali mempunyai pandangan berbeza dan berpendapat Umno harus bekerjasama dengan Pas bagi menjadikan pembangkang sebuah pihak yang dominan, kuat dan disegani.
Katanya kerjasama antara kedua-dua pembangkang itu perlu bagi memastikan hak-hak raja dan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan terus terbela.
“Sekarang ini dapat dilihat benda-benda ini (hak-hak raja dan orang Melayu) banyak disentuh dan ia mungkin sensitif kepada orang Melayu. Jadi kerjasama ini sangat diperlukan,” katanya.
Mohd Fuad berkata tidak mustahil sekiranya Umno dan Pas berjaya membentuk satu barisan menjelang PRU15 nanti, seperti yang dilakukan oleh Pakatan Harapan pada PRU14 lepas.
Ulasan
Catat Ulasan