'Perang' Amar Singh, Raja Petra berterusan
KUALA LUMPUR - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengecam kenyataan penulis blog Raja Petra Kamaruddin berhubung pemakaian serban olehnya dan mendakwa tindakan itu bersifat perkauman.
Amar Singh menerusi kenyataan di akaun Facebook hari ini mengakui terkejut dengan penulisan Raja Petra bertajuk "Pasti serban Amar Singh terlalu ketat" yang dimuat naik diblog miliknya pada Jumaat lalu.
“Ini amat mengejutkan apabila Raja Petra mengeluarkan kenyataan yang hanya memperlekeh, merendahkan dan menghina bangsa seseorang.
“Tiada lagi rasa hormat yang tersisa kerana kenyataan bersifat rasis dan diskriminasi ini hanyalah senjata buat mereka yang lemah,” katanya.
Raja Petra membuat kenyataan berhubung pemakaian serban itu setelah dakwaannya yang menuduh polis mencuri RM43.3 juta ketika menyerbu kediaman yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pavilion Residences di Kuala Lumpur dinafikan oleh Amar Singh.
Amar Singh turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas dan mencabar Raja Petra membuat laporan polis berhubung perkara itu serta mencabarnya tidak bersembunyi di sebalik tirai siber.
Sementara itu, Amar Singh turut menegaskan pemakaian serban di kalangan Sikh tidak seharusnya diperlekehkan mana-mana pihak kerana ia adalah sesuatu yang sangat dihormati oleh kaum itu sendiri.
“Warga Sikh sangat menghormati pemakaian serban ini dan jangan ada pihak memandang rendah,” katanya.
Pada masa sama, Amar Singh sempat menyindir Raja Petra supaya tidak menjadi ‘anjing peliharaan’ mana-mana pihak.
“Dalam kenyataan Raja Petra beliau buat pengakuan sebagai penulis upahan setelah berkata semua orang adalah penulis upahan.
“Bagaimana pun itu bukan alasan untuk seseorang penulis tidak mengutamakan moral dan integriti untuk menulis tentang kebenaran,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan