Umno saman MP lompat parti, maklum Zahid


Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat yang bertindak meninggalkan parti itu telah diambil kepimpinan tertinggi Umno.
Malah, anggota parlimen Bagan Datok itu berkata writ saman juga telah dihantar kepada mereka yang terlibat.
“Saya akui amat sukar untuk menyekat mereka keluar parti. Tetapi demi menghormati kehendak ahli-ahli parti yang telah dikhianati, kita telah pun mengambil langkah drastik melalui tindakan undang-undang.
“Malah writ saman telah dihantar kepada mereka,” tegas Ahmad Zahid dalam ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno 2018 di PWTC, malam ini.
Ahmad Zahid berkata demikian sebagai maklum balas terhadap desakan ketiga-tiga sayap Umno hari ini supaya parti itu bertindak terhadap wakil rakyat yang meninggalkan parti selepas PRU ke-14.
Pemuda dan Wanita serta Puteri Umno hari ini berkata jika tindakan lompat parti tidak dihalang maka ia akan mengurangkan kerusi parlimen yang dipegang Umno.
Wakil rakyat Umno tandatangani akujanji
Sejak PRU14, sebanyak lima anggota parlimen dan 13 ADUN telah meninggalkan parti itu. Terbaru adalah Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Tan Sri Anifah Aman kira-kira seminggu lalu.
Menurut Zahid, parti itu dalam samannya menuntut bayaran ganti rugi dengan kos dan menuntut wakil rakyat terbabit mengosongkan kerusi yang dimenangi mereka atas tiket Umno.
“Kita menuntut bayaran balik yang melibatkan kos dan mereka juga perlu mengosongkan semula kerusi yang dimenangi atas tiket Umno dan BN.
“Mereka tidak lagi mempunyai asas moral untuk menjadi wakil rakyat. Kerusi itu milik Umno... milik penyokong BN,” katanya.
Zahid dalam perkembangan sama berkata semua wakil Umno yang ada diminta menandatangani akujanji untuk tidak mengkhianati parti.
“Saya juga telah berbincang dan bersetuju, semua wakil rakyat Umno sekarang diminta menandatangani akujanji, jika mereka keluar parti, sama ada menjadi ahli bebas, ataupun menyertai parti lain, maka status mereka sebagai wakil rakyat terlucut secara automatik, kita akan tuntut mereka membayar penalti dan ganti rugi,” katanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar