ISTILAH KETUANAN MELAYU TERLALU SENSITIF

SHAH ALAM – Istilah ketuanan Melayu yang disebut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman dalam kenyataannya secara tidak langsung menyentuh sensitiviti orang Melayu di negara ini.
Pensyarah Undang-Undang (Perlembagaan) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz bagaimanapun berkata, berkemungkinan kenyataan itu adalah pandangan bagi seorang menteri yang berniat untuk digunakan dalam membuat dasar.
“Saya fikir tidak ada silap dan salahnya, cuma mungkin istilah ketuanan Melayu itu yang menyentuh sensitiviti kepada masyarakat,” katanya ketika sesi temu ramah di siaran live, semalam.
Beliau berpendapat, situasi yang berlaku itu sebagai satu perkara biasa yang berlaku kepada seorang menteri apabila tersalah cakap atau kenyataannya disalah tafsir pihak lain.
“Untuk menteri bila silap cakap dan orang salah tafsir kenyataan yang dibuat ia dianggap perkara biasa tapi saya tidak tahu sama ada ia perlu atau tidak di sebut di khalayak ramai. Sebab kita bimbang ia akan menjadi satu isu polemik sekali gus mendatangkan keburukan kepada nama baik kerajaan.
“Tapi saya sangat jelas beliau ada menyebut tentang bagaimana untuk memperkasakan Melayu dalam kenyataan itu  dan saya fikir itu tidak menjadi salah,” katanya.
Katanya lagi, masyarakat juga adakalanya tidak perlu terlalu beremosi terhadap sesuatu perkara kerana teguran secara berhemah boleh dilakukan.
“Kalau orang biasa macam saya, mungkin tidak apa kalau silap sebut, tapi bila berlaku kepada ‘public figure’ mungkin situasinya berbeza.
“Saya fikir adakalanya, masyarakat juga jangan terlampau beremosi. Memang betul kita perlu tegur pemimpin yang silap cakap tapi cara teguran juga bukanlah dalam bentuk provokasi atau menghentam,” katanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar