Kami tak disogok, kata bapa remaja dakwa dicabul ahli Parlimen
PETALING
JAYA: Bapa kepada gadis berusia 15 tahun yang mendakwa Ahli Parlimen
Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim Shahidan mencabul anaknya, menolak
dakwaan keluarganya “disogok” supaya menarik balik laporan polis mereka.
“Laporan ditarik balik sebelum suspek datang berjumpa kami sekeluarga, kalau betul kami nak imbuhan, kami dah ‘deal’ dengan dia awal-awal.
“Lagipun semasa laporan dibuat, kami tidak jelas apa yang berlaku. Namun, setelah ada wakil (suspek) menerangkan perkara sebenar dan menyampaikan permohonan maaf, barulah kami faham dan tarik balik laporan,” katanya dipetik Bernama dalam satu pertemuan di Kangar hari ini.
Hari ini, Shahidan dilapor menafikan spekulasi beliau membayar keluarga gadis itu untuk menarik balik laporan polis kerana beliau tidak tahu mereka berbuat demikian sehingga dimaklumkan keluarga gadis terbabit.
Polis berkata, mereka akan menyiasat aduan itu walaupun laporan sudah ditarik balik di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sementara itu, bapa kepada gadis itu merayu semua pihak berhenti menyebarkan gambar anaknya demi menjaga privasi remaja itu yang masih bersekolah.
Kontraktor berusia 39 tahun itu juga berharap pihak berkuasa menyiasat punca gambar kad pengenalan anaknya tersebar dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak tidak bertanggungjawab.
“Anak saya okey dan dia sudah tidak terkesan dengan insiden itu dan menganggap perkara itu hanya salah faham, sebab itulah dia menarik semula laporan yang dibuat.
Ulasan
Catat Ulasan