Najib dakwa 1MDB 'tak ada hutang langsung' dengan IPIC, tetapi ...


Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak cuba meraih kesempatan berhubung kenyataan Mubadala bahawa 1MDB sekarang tidak berhutang langsung dengan Mubadala atau International Petroleum Investment Company (IPIC) .
Walau bagaimanapun, hakikat bahawa 1MDB tidak lagi berhutang dengan IPIC adalah kerana syarikat pelaburan Malaysia itu telah menyerahkan berbilion-bilion ringgit kepada firma Abu Dhabi tersebut dalam satu penyelesaian semasa Najib adalah menteri kewangan.
IPIC dan Mubadala adalah entiti yang sama selepas penggabungan.
Semalam, Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan bahawa Malaysia telah memfailkan permohonan untuk mengketepikan award persetujuan yang direkodkan oleh tribunal timbangtara pada 9 Mei tahun lalu terhadap penyelesaian 1MDB dengan IPIC berdasarkan alasan penipuan.
“Sebagai reaksi kepada kenyataan kerajaan Malaysia itu, IPIC mengeluarkan satu kenyataan menyatakan bahawa 1MDB tidak berhutang apa apa wang kepada IPIC yang secara jelas bertentangan dengan kenyataan kerajaan Pakatan Harapan,” kata Najib dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
“Siapa betul, siapa salah? Secara logik, takkan pihak yang kata kononnya 1MDB ada hutang berbilion-bilion dengan mereka tiba-tiba berkata sebenarnya 1MDB tiada hutang apa apa pada mereka?
“Malah, IPIC adalah syarikat yang sepatutnya berhutang kepada 1MDB dan perlu dibayar kepada 1MDB menjelang 30 Disember 2020. Perjanjian penyelesaian itu adalah bagi meleraikan isu 1MDB agar setiap sen milik 1MDB dapat diperolehi semula.,” katanya.
Mengikut penyelesaian tahun lalu, 1MDB bersetuju membayar AS$1.2 bilion kepada IPIC dan berusaha untuk membayar dua bon berjumlah AS$3.5 bilion yang dijamin oleh IPIC, yang dengan itu membebaskan IPIC daripada kewajibannya.
Ini termasuk kupon faedah, sehingga bon berkenaan matang pada tahun 2022, 1MDB perlu menanggung sejumlah AS$5.78 bilion.
1MDB membuat konsesi itu di sebalik dakwaan bahawa syarikat itu telah membayar AS$3.51 bilion kepada anak syarikat IPIC, Aabar Investments PJS.
Bukan sahaja 1MDB menyerahkan berbilion-bilion dalam konsesi kepada IPIC, ia juga gagal mendapat sebarang jaminan daripada IPIC untuk menyelesaikan bayaran AS$3.51 bilion berasingan yang mengikut 1MDB telah dibayar kepada syarikat Abu Dhabi itu tetapi bagi IPIC mereka tidak pernah menerima sebarang pembayaran.
Sebaliknya, 1MDB dan IPIC hanya bersetuju untuk berbincang dengan "niat baik" mengenai pembayaran yang "hilang" itu.
Garis penyelesaian itu diumumkan oleh IPIC kepada Bursa Saham London.
Susulan konsesi 1MDB itu, Mubadala berkata syarikat Malaysia itu buat ketika ini tidak lagi berhutang sebarang wang dengan IPIC tetapi menegaskan bahawa penyelesaian berkenaan tetap mengikat semua pihak secara sah.
Jabatan Keadilan AS (DOJ) percaya bahawa AS$3.51 bilion telah dibayar kepada syarikat berlainan tetapi mempunyai nama serupa - Aabar Investments PJS Ltd yang berpangkalan di British Virgin Islands, yang tidak berkaitan dengan IPIC.
Wang tersebut kemudiannya dialihkan untuk kepentingan ahli perniagaan Jho Low, Najib dan rakan-rakan mereka, kata DOJ.
Perjanjian itu kemudiannya diteruskan walaupun ada rintangan dari dalam pentadbiran Najib sendiri, termasuk menteri kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani.
Kerajaan Harapan mendakwa bahawa penyelesaian itu tidak sah kerana ia dicapai melalui penipuan.
“Asas bagi cabaran perundangan Malaysia adalah bahawa Award Persetujuan tersebut telah diperoleh secara penipuan ataupun dengan cara yang bertentangan dengan polisi umum.
"Permohonan mahkamah tersebut berkaitan dengan pengetahuan IPIC dan Aabar akan tuduhan yang serius yang dibuat oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) terhadap bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, yang juga merupakan tenaga penggerak dan pembuat keputusan yang utama di 1MDB.
“Najib Razak dikenal pasti sebagai MO1 dalam pliding-pliding DOJ. Mana-mana pembaca yang rasional yang membaca dokumen-dokumen tersebut dengan serta-merta akan menyedari peranan utama dia menipu 1MDB untuk manfaat dirinya sendiri, anak tirinya dan Jho Low,” kata Thomas.
Dalam hantaran di Facebook hari ini, Najib mengulangi desakannya kepada kerajaan untuk mendedahkan perjanjian penyelesaian antara IPIC dan 1MDB bagi membuktikan bahawa dirinya sentiasa mengutamakan kepentingan negara.
Menurut Najib, bukan mudah untuk membuat dakwaan ketika menjawat jawatan perdana menteri apatah lagi ia melibatkan kerajaan negara asing.
“Saya berpendirian bahawa kerajaan kita tidak seharusnya senang untuk cari gaduh dengan negara lain dan saya lebih memilih untuk mencari jalan penyelesaian secara baik dan tanpa kekecohan,” katanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu