Skandal 1MDB: Saya tak akan henti berjuang - Justo
Katanya, walaupun perjuangan yang dilaluinya sebelum ini memberi padah dari segi kemanusiaan dan kewangan, tetapi beliau tidak akan berhenti berbuat demikian selagi penjenayah terbabit tidak menerima hukuman.
"Saya menderita, keluarga saya begitu teruk menderita semasa saya dipenjarakan dan malah, hari ini pun saya tidak boleh membuka akaun bank atas nama saya," kata Justo pada Sidang Kemuncak Pencegahan Rasuah 2018 di sini, pada Selasa.
Pada 22 Jun 2015, Justo ditangkap di rumahnya di pulau Koh Samui, Thailand selepas para pegawai PetroSaudi memfailkan aduan bahawa beliau cuba memeras ugut firma itu sebanyak 2.5 juta Swiss francs (RM11 juta) dengan menggunakan dokumen yang dicuri daripada syarikat berkenaan.
Tetapi, kata Justo, segala susah-payah yang dialami itu menghadiahkan kepadanya rasa cinta dan bukti tentang betapa indahnya kasih-sayang.
"Sokongan luar biasa daripada orang tersayang, pertemuan dengan mereka yang tidak pernah saya kenal sebelum ini tetapi mempamerkan kasih sayang menakjubkan, dan paling utama sambutan yang saya terima di Malaysia.
"Kebanggaan kerana dapat memberi penjelasan kepada anak lelaki saya suatu hari nanti tentang siapa bapanya dan apakah sebenarnya yang dilakukannya merupakan ganjaran masa depan yang tidak sabar untuk saya nikmati. Pengalaman ini mahal harganya, tetapi saya percaya dan saya yakin ia berbaloi," katanya.
Justo juga berkata beliau akan mendedahkan nyawanya kepada risiko apabila menjadi pendedah maklumat sekali lagi berkaitan skandal itu.
"Kalau saya perlu lakukannya sekali lagi, saya akan lakukannya lagi. Tetapi saya akan lindungi keluarga saya daripada masalah ini... orang yang anda sayangi tidak sepatutnya menderita akibat tindakan anda, biar apa sekalipun tindakan yang dilakukan," katanya.
Bertemakan "Tadbir Urus Baik dan Integriti untuk Pertubuhan Mampan Perniagaan", sidang kemuncak sehari itu dianjurkan Transparency International Malaysia (TI-M).
Ia dihadiri kira-kira 500 peserta dan beberapa penceramah tempatan dan antarabangsa, termasuk Presiden TI-M Datuk Akhbar Satar, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali dan penasihat pencegahan rasuah UNODC-Asia Tenggara dan Pasifik Francesco Checchi.
Ulasan
Catat Ulasan