46 dokumen termasuk surat lantikan Hasanah sebagai KP diserah kepada pembelaan


Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini diberitahu sebanyak 46 dokumen berkaitan kes bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Hasanah Abdul Hamid yang didakwa tuduhan pecah amanah wang telah diserahkan kepada pihak pembelaan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan perkara itu semasa sebutan semula kes di hadapan Hakim Rozina Ayob.
“Pada petang ini kami telah menyerahkan sebanyak 46 dokumen dan ianya telah diterima oleh peguam dan masih ada beberapa dokumen yang perlu diserahkan,” kata Muhamad Iskandar.
Antara dokumen yang diserahkan kepada pembelaan hari ini ialah surat pelantikan Hasanah sebagai ketua pengarah penyelidikan, senarai sitaan, invois, gambar barang kes, rakaman percakapan serta gambar lokasi di bahagian penyelidikan manakala dokumen yang belum diserahkan termasuk laporan forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen dan beberapa jabatan lain serta salinan rakaman kamera litar tertutup.
Peguam Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Hasanah, 61, mengesahkan menerima dokumen berkaitan.
Mahkamah kemudian mengarahkan pihak pendakwaan untuk melengkapkan dokumen berkaitan bagi tujuan penyerahan kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah selewat-lewatnya pada 3 Januari tahun hadapan serta menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.
Peguam Datuk Shaharudin Ali yang turut mewakili Hasanah memberitahu mahkamah bahawa Hasanah tidak dapat membayar yuran guaman kerana akaunnya dibekukan dan memohon akaun itu dilepaskan.
“Sejak tertuduh ditangkap, akaun beliau telah dibekukan, yang terkandung dalam akaun bank hanyalah wang pencen dan gratuiti yang diterima tertuduh. Ia tiada mengena dengan lain-lain wang yang dicurigai.
“Sekiranya akaun dibekukan, pihak tertuduh tidak dapat membayar yuran guaman kepada kami. Di bawah aturan manakah SPRM membekukan akaun tersebut. Saya faham ini bukan sebahagian dari prosiding pengurusan kes tetapi kami memohon melalui Yang Arif untuk akaun ini dilepaskan,” kata peguam itu.
Khairul Azam juga menambah pihaknya juga telah menulis tiga keping surat kepada SPRM dan pegawai penyiasat kes berhubung perkara itu namun mendakwa mereka diperlakukan seperti bola apabila pihak terbabit memberi jawapan tidak jelas.
Hakim Rozina kemudian meminta pihak pendakwaan merujuk semula perkara itu kepada pihak SPRM dan memberi respon kepada permohonan pembelaan itu.
Sementara itu ketika ditemui pemberita di luar bilik bicara, Shaharudin berkata pihaknya akan membuat permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dan akan memohon untuk kes itu didengar di hadapan hakim yang tidak mendengar kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana kes Hasanah tidak mempunyai kaitan dengan 1MDB.
Pada 25 Oktober lalu, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah USD 12.1 juta milik kerajaan Malaysia, di Pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan JPM, Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 30 April dan 9 Mei 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun maksimum 20 tahun, dan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu