Bunuh pegawai JAIP: Mahkamah kekal hukuman mati pengikut ‘Tuhan Harun’




PUTRAJAYA: Dua pengikut “Tuhan Harun” akan dihukum gantung sampai mati kerana membunuh ketua penolong pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada 2013. Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak rayuan akhir Sumustapha Suradi dan Shamsinar Abdul Halim dan mengekalkan sabitan dan hukuman mati.
Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum yang mengetuai barisan 5 hakim memutuskan rayuan kedua-dua mereka tidak mempunyai merit.
Mahkamah juga disidangi Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop dan hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Azahar Mohamed, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Rohana Yusuf.
Sumustapha, 43 dan Shamsinar, 41, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 2016 selepas mereka didapati bersalah pada 2016 membunuh Ahmad Raffli Abd Malek.
Ahmad Raffli, 49, ditembak di depan rumahnya di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, pada 10 Nov, 2013.
Kedua-dua mereka gagal dalam rayuan selepas Mahkamah Rayuan menolaknya pada 8 Feb tahun ini.
Ketua kumpulan ajaran sesat itu, Harun Mat Saat atau lebih dikenali sebagai “Tuhan Harun” juga didakwa kerana bersubahat dalam pembunuhan tersebut.
Bagaimanapun, tuduhan ke atasnya digugurkan pada 26 Ogos 2016 selepas dia meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 16 Ogos, 2016 akibat masalah pernafasan.
Peguam Iskandar Shah Ibrahim mewakili kedua-dua mereka sementara timbalan pendakwa raya Ku Hayati Ku Haron menjalankan pendakwaan.
Pilihan terakhir yang ada untuk kedua-dua mereka ialah memfailkan petisyen bagi pengampunan kepada Lembaga Pengampunan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu