Kadir tegur Waytha jangan malukan raja, PM


PETALING JAYA: Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin menegur Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berhubung tindakannya dalam isu Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya.
Dalam catatan blognya yang ditulis atas kapasiti peribadinya, Kadir berkata, Waytha memegang portfolio perpaduan negara dan kesejahteraan sosial, tetapi tindak-tanduknya baru-baru ini tidak membantu mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional.
Penasihat khas media dan komunikasi kepada perdana menteri itu berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah menasihatkan Waytha, bagaimanapun beliau tidak menjelaskan kandungan nasihat itu.
“Tapi, perdana menteri kita ini baik hati dan kalau beliau marah pun, ada orang tak sedar. Jadi, Waytha Moorthy yang belum lama kenal beliau janganlah ‘gung-ho’ dan selesa sangat dengan kedudukan beliau.
“Ingatlah, anda bukan dipilih oleh rakyat jelata. Anda senator lantikan Yang di-Pertuan Agong dan diangkat menjadi menteri oleh Dr Mahathir.
“Tolonglah jangan malukan raja kita dan perdana menteri kita,” katanya sambil mempelawa Waytha meninggalkan komen jika tidak berpuas hati dengan catatannya.
Isu penempatan semula kuil Hindu itu menyaksikan prosiding mahkamah berlarutan sehingga kini, protes dan kekecohan berlaku, termasuk kenderaan dibakar, keganasan dan serangan ke atas kuil serta kerosakan terhadap hartanah.
Kadir berkata, Menteri Pendidikan yang juga ahli Parlimen PPBM, Maszlee Malik juga baru “dikuliahkan” Dr Mahathir.
Ahli Majlis Tertinggi PPBM itu bersetuju dengan perdana menteri yang Malaysia sudah mempunyai banyak sekolah agama dan tiada keperluan menyuntik lebih banyak agama ke dalam sekolah kebangsaan.
Katanya, sekolah sedemikian perlu kembali kepada tujuan asal untuk menjadi sekolah yang menyatukan semua bangsa dan agama.
“Takkan menteri yang cerdik macam Maszlee tak tahu bahawa banyak ibu bapa bukan Melayu tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana sekolah kebangsaan sudah jadi macam sekolah agama?
“Di pihak lain pula, makin banyak ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina kerana mahu anak-anak mereka lebih berjaya.”
Kadir berkata, beliau hanya menyebut nama Waytha dan Maszlee, tetapi tidak bermakna menteri lain sudah berjaya disebabkan kali ini bukan giliran “mereka”.
“Anggaplah saya guru pelawat tua yang duduk di belakang kelas memerhatikan tindak-tanduk dan kelakuan mereka.”

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu