SPR semak semula 62,000 pengundi 90 tahun ke atas


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti status 62,000 pengundi yang berumur 90 tahun ke atas yang berdaftar dalam senarai pemilih, sama ada mereka masih hidup atau tidak.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata usaha itu dilakukan dalam masa sebulan selepas memegang jawatan tersebut dan berkata beliau juga akan meneliti pengundi yang berusia 150 tahun.
“Terdapat 73,000 pengundi yang melebihi 90 tahun dan yang berusia 150 tahun yang paling tua.
“Kita mengetahui bahawa 11,000 daripada 73,000 sebenarnya telah mengundi. Jadi lagi 62,000 pengundi itu kita akan semak balik,” katanya ketika ditemui pada pelancaran program sidang meja bulat ‘Electoral Reform of Malaysia’ anjuran Bersih di Parlimen.
26 Mac lalu , DAP mempersoalkan nama seorang lelaki berumur 150 tahun dalam senarai pemilih rasmi SPR.
Mohd Said Mohd Arshad yang direkodkan tarikh lahirnya pada 1 Januari 1868, dengan kad pengenalan bernombor 680101-13-0069, merupakan pengundi berdaftar di daerah mengundi Krokop di kerusi DUN Pujut dalam Parlimen Miri.
DAP Sarawak berkata jika maklumat itu sahih, Malaysia mencipta rekod dunia kerana mempunyai rakyat tertua di dunia.
Azhar berkata, jika difikir secara logik pengundi berumur 150 tidak boleh hidup lagi.
“Walaupun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berumur 93 tahun tetapi ini berkaitan pengundi umur 150 tahun. Jadi kami akan memastikan perkara ini bersih,” katanya.
Azhar juga berkata SPR sedang mengenalpasti pengundi yang berkongsi alamat dan tindakan akan diambil sekiranya didapati bersalah.
Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan SPR, terdapat banyak kes dan ada juga yang mempunyai 2 alamat tetapi tidak mempunyai orang.
“Tindakan diambil adalah memanggil mereka dan cuba mengenal pasti di mana mereka berada dan kami akan mengambil tindakan yang perlu untuk membersihkannya jika mereka tidak berada di sana.
“Tetapi ada juga tempat-tempat di mana sebenarnya ada orang, kerana di kampung mereka tidak mempunyai alamat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Azhar berkata SPR belum boleh mengumumkan pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau berikutan ada rayuan dikemukan oleh pihaknya.
“Tak boleh umum lagi sebab ada rayuan, kena tunggu rayuan habis.
“Mahkamah Persekutuan ada 6 bulan untuk memutuskan rayuan itu tetapi saya rasa mereka akan memutuskan lebih awal kebiasaannya,” katanya.
Rabu lalu, SPR memutuskan untuk merayu keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangan kerusi DUN Rantau dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU) sebagai terbatal dan tidak sah.
Azhar memaklumkan, keputusan itu dibuat setelah meneliti penghakiman lisan di dalam kes petisyen pilihan raya DUN Rantau dan mengambil kira nasihat peguam.
Mahkamah Pilihan Raya di Seremban, pada 16 November lalu, mengisytiharkan kemenangan calon Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi PRK Rantau dalam PRU14 adalah tidak sah dan terbatal.
Mohamad memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 28 April, selepas calon PKR, Dr S Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan oleh SPR.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu