JANGAN ABAIKAN KEAKTIFAN NAJIB DI MEDIA SOSIAL, KENAPA SERANGANNYA DIBIARKAN BEGITU SAJA?
Barangkali
tidak sukar untuk kita semua mengakui bahawa tulisan-tulisan bekas
Perdana Menteri, Najib Razak di media sosial sejak kehilangan kuasa ini
bukan saja semakin menarik, malah dibaca oleh lebih ramai rakyat negara
ini.
Beliau juga dilihat sangat aktif sehingga kadangkala dua atau tiga tulisan dimuatkannya dalam sehari.
Dalam
satu perbualan dengan sekumpulan anak-anak muda daripada sebuah
universiti tempatan di ibukota baru-baru ini, mereka secara terbuka
mengakui suka dan tertarik dengan tulisan-tulisan Najib sejak
kebelakangan ini.
Berbeza
dengan sebelum PRU14 di mana mereka tidak suka dan jarang sekali
membacanya, kini mereka mengakui kerapkali menunggu-nunggu munculnya
tulisan Najib yang dianggap menghiburkan, menarik, selain berfakta dan
ada kebenarannya.
Tulisan
Najib di media sosialnya bukan saja dalam bentuk serangan terbuka atau
membidas berkaitan pengurusan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan, janji
manifesto, perangai menteri-menteri dan sebagainya, tetapi selalu juga
dalam bentuk sindiran, menyinis, usikan dan lain-lain lagi.
Sesekali pula beliau akan tampil secara live melalui facebooknya.
Dalam
keadaan sudah jatuh dan kini berdepan banyak kes di mahkamah, meskipun
ada yang berkata segala apa yang diluahkan Najib ketika ini tidak perlu
dipedulikan lagi, namun dalam beberapa hal luahan beliau atau apa yang
dtulisnya itu tidak boleh diabaikan atau diketepikan begitu saja.
Misalnya,
dalam kritikan beliau tentang soal kejatuhan saham, nasib peneroka
Felda, PTPTN, penubuhan syarikat khas untuk mengurus saham dan aset
Tabung Haji, penurunan harga minyak dan banyak lagi, ia bukan saja tidak
boleh diketepikan semudah itu, malah perlu dijawab atau diperjelaskan
dengan pantas oleh pihak kerajaan.
Kita
mungkin memahami jika Tun Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri agak
terhad masanya untuk memberi respon terhadap semua isu yang dibangkitkan
Najib itu, tetapi bagaimana dengan menteri-menteri dan segala pasukan
media sosialnya, unit media di Pejabat Perdana Menteri, unit media
Pakatan Harapan, unit media Bersatu dan semua penggiat media sosial pro
kerajaan yang ada?
Setelah jadi kerajaan dan akses kepada maklumat menjadi lebih mudah, mengapa dibiarkan saja Najib menyerang tanpa henti-henti?
Kenapa
semuanya lebih banyak berdiam diri, dan kalau ada pun sesekali Lim Guan
Eng menjawabnya, malangnya ia hanya dilakukan beberapa hari
kemudiannya?
Kenapa kerajaan ini dilihat tidak begitu cekap dan lembab dalam memberi respon?
Mujurlah
hanya Najib seorang saja yang aktif, cuba bayangkan jika Presiden UMNO,
Timbalan Presiden yang ada kuasa Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua
Penerangan, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri juga sama aktif
seperti Najib menyerang kerajaan di media sosial sekarang ini?
Membiarkan
Najib terus bercakap beserta segala fakta dan angka yang dilampirkannya
dan kerajaan Pakatan Harapan pula hanya berdiam diri saja terhadapnya,
ia tentu saja suatu kesilapan yang nyata.
Ia
malah seperti mengulangi kesilapan kerajaan era BN dan Najib dahulu
yang banyak berdiam diri dan tidak tampil dengan jawapan yang meyakinkan
berhubung banyak serangan serta bidasan Pakatan Harapan di media
sosial.
Tetapi, hasilnya bukan saja sokongan kepada BN semakin merosot hari demi hari, malah akhirnya hilang kuasa sama sekali.
Najib
sendirinya rasanya tidak percaya BN akan kalah serta hilang kuasa,
mungkin kerana yakin beliau tidak mampu ditumbangkan, namun realitinya
penyumbang terbesarnya ialah kegagalan menangani serangan di media
sosial itu.
Hari
ini Pakatan Harapan sudah berkuasa, fenomena yang sama nampaknya sudah
berulang kembali. Serangan terhadap kerajaan bukan saja tidak ditangani,
malah banyak yang ditulis Najib pun tidak mampu dijawab dengan baik dan
meyakinkan.
Pejuang-pejuang
media sosial pro Pakatan Harapan nampaknya tidak lagi rancak dan
segagah dulu, meskipun dilaporkan ada sesetengahnya bernaung di bawah
pihak-pihak tertentu.
Mereka
kini malah sudah sama seperti pejuang maya era BN dahulu yang mula
berbalah dan bergaduh sesama sendiri, kadangkala dalam isu remeh dan
tiada kaitan langsung dengan perjuangan sebenar.
Ulasan
Catat Ulasan