Audit 1MDB: Deloitte mahu denda RM2.2j disemak

Firma audit Deloitte PLT sudah berunding dengan peguam untuk memohon agar Suruhanjaya Sekuriti membuat semakan denda RM2.2 juta yang dikenakan kepada mereka berhubung 1MDB.
"Deloitte PLT menghormati tugas Suruhanjaya Sekuriti untuk memantau dan menjaga pasaran modal Malaysia. Deloitte juga memandang serius tugas sebagai firma audit.
"Namun kami kecewa dengan keputusan (denda) itu," kata kenyataan firma audit berkenaan seperti dilapor Bloomberg.
Suruhanjaya Sekuriti Rabu lalu mengenakan denda RM2.2 juta terhadap Deloitte selepas firma audit itu didakwa membuat empat kesalahan kerana "gagal menunaikan kewajiban berkanun".
Kesalahan berkenaan berhubung program RM2.4 bilion sukuk murabahah yang dianjurkan syarikat subsidiari 1MDB iaitu Bandar Malaysia Sdn Bhd pada 2014.
Ia merupakan tindakan pertama yang diambil Suruhanjaya Sekuriti terhadap Deloitte berhubung kes 1MDB.
1MDB Real Estate pada ketika itu menyediakan cagaran bagi bon Islamik RM2.4 bilion.
Deloitte merupakan auditor bagi Bandar Malaysia dan 1MDB Real Estate pada 2015 dan 2016.
Firma audit itu didakwa gagal melaporkan kejanggalan dengan bon Islamik yang dikeluarkan yang menyebabkan 1MDB Real Estate mempunyai masalah membayar pemegang sukuk.
Laporan audit Deloitte pada 2015 dan 2016 bagi 1MDB Real Estate menyatakan "siasatan ke atas 1MDB yang masih berlangsung menunjukkan kewujudan unsur ketidakpastian, yang boleh mengenepikan keraguan ke atas keupayaan kumpulan syarikat itu".
Laporan itu juga menyatakan bahawa Deloitte tidak mampu memperoleh bukti audit yang cukup untuk menentukan sama ada wang pendahuluan yang diberikan kepada 1MDB daripada program sukuk dapat dikembalikan.
Media sebelum ini juga melaporkan bahawa Deloitte mengaudit penyata kewangan 1MDB bagi 2013 dan 2014 sebelum melepaskan tugas sebagai juruaudit pada 2016.
Menurut pihak berkuasa, Deloitte merupakan juruaudit ketiga 1MDB selepas KPMG dan Ernst & Young dipecat.
Deloitte dalam kenyataannya turut menyatakan bahawa audit pihak mereka terhadap 1MDB tidak lagi boleh dipakai selepas Jabatan Kehakiman AS memfailkan saman sivil terhadap syarikat dana kerajaan itu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu