BERSATU DAN PKR - PEPAT DI LUAR, RENCONG DI DALAM
Ramai
rakyat negara ini, sama ada bekas ahli UMNO atau mereka yang tidak
berparti sebelumnya, telah terlibat secara langsung atau tidak langsung
dalam kerja-kerja menumbangkan UMNO dan BN dalam pilihanraya lalu.
Mereka
memilih Bersatu sebagai wadah baru dalam perjuangan untuk menyelamatkan
negara ini daripada terus terjerumus ke lembah derita yang lebih
kronik lagi sekiranya BN tidak disingkirkan.
Sesetengah
mereka ini ada yang memilih untuk memegang jawatan dan aktif dalam
Bersatu, manakala sebahagian lagi hanya mahu menjadi ahli serta
penyokong saja.
Bagaimanapun,
rata-ratanya gembira dengan kejayaan PH dapat menumbangkan BN, meskipun
Bersatu hanya berbekalkan 13 kerusi Parlimen dalam gabungan itu
berbanding 52 kerusi yang ditandinginya.
Atas
nama muafakat dan persetujuan bahawa ketika itu Anwar Ibrahim masih
berada di dalam penjara, maka Tun Mahathir Mohamad dipersetujui untuk
dinamakan sebagai Perdana Menteri.
Atas
persetujuan dan muafakat juga, jawatan Perdana Menteri itu dijanji akan
diserahkan kepada Anwar setelah Tun Mahathir memegangnya tidak lebih
dua tahun untuk beliau menyelesaikan usaha-usaha menyelamatkan negara
terlebih dahulu.
Setelah
hampir 9 bulan PH memegang kuasa, apa yang ketara ketika ini, sementara
pemulihan negara masih diusahakan dan janji-janji manifesto banyak yang
masih tersangkut di tengah jalan, hubungan Bersatu dan PKR seolah-olah
sudah bertukar seperti kata pepatah “pepat di luar rencong di dalam”,
walaupun berada di dalam gabungan dan kerajaan yang sama.
Ramai
penyokong Tun Mahathir dalam Bersatu secara terbuka tidak suka jawatan
Perdana Menteri diserahkan kepada Anwar, manakala penyokong Anwar dalam
PKR pula mula curiga kalau-kalau Tun Mahathir mungkir janji berhubung
penyerahan kuasa itu.
Tetapi,
beberapa pemimpin Bersatu seperti Muhyiddin Yassin dan Syed Saddiq Syed
Abdul Rahman misalnya, ternampak begitu komited tentang perlu dan
wajibnya penyerahan kuasa itu dilakukan kerana ia adalah janji yang
mungkin menimbulkan kebencian rakyat kiranya dimungkiri.
Mereka
yang menentang penyerahan kuasa kepada Anwar itu jika diperhalusi
matlamatnya, lebih berkepentingan peribadi daripada memikirkan
kelangsungan PH sebagai kerajaan lantaran merasakan masa depan mereka
akan menjadi gelap sekiranya Tun Mahathir tidak lagi menjadi Perdana
Menteri nanti.
Mereka
inilah yang kerap menyanyikan lagu perlunya Tun Mahathir jadi Perdana
Menteri sehingga habis penggal serta mereka-reka cerita kononnya Anwar
tidak layak sebagai penggantinya.
Termasuk dalam golongan ini adalah mereka yang diketahui rapat dan berada di keliling Tun Mahathir sendiri.
Kadang-kadang
terlibat bagaimana mereka bermusuh dengan UMNO, begitulah mereka
bermusuh dengan PKR dan Anwar ini dalam waktu yang sama.
Jika Tun Mahathir tidak menonjol-nonjolkan Azmin Ali sejak daripada mula, apakah fenomena ini tetap akan berlaku?
Ulasan
Catat Ulasan