Keretapi dalam negeri lebih baik kepada Kelantan, bukan ECRL
KUALA LUMPUR: Seorang peruding perdagangan berkata, adalah lebih baik kerajaan memberi perhatian kepada landasan keretapi menghubungkan Tanah Merah dengan Tok Bali di Kelantan berbanding Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang disokong Cina kerana ia bukan keutamaan mendesak bagi pertumbuhan ekonomi di negeri itu.
Azran Deraman, bekas pengarah Kementerian Perdagangan Luar Negeri dan Industri bagi negeri Kelantan berkata, belum dapat dipastikan sama ada ECRL yang bertujuan menghubungan Pelabuhan Kelang di Selangor dengan Pengkalan Kubor di Kelantan akan menambah baik perhubungan.
Secara khusus, beliau menyuarakan kebimbangan berkenaan harga tiket dan fi pengangkutan kargo.
Sebaliknya keretapi yang menghubungkan Tanah Merah dengan Tpk Bali akan memberi manfaat kepada rakyat kerana Tok Bali merupakan zon ekonomi baru yang menempatkan Pangkalan Perbekalan Tok Bali yang menyediakan perkhidmatan luar persisir.
“Tetapi tidak ada landasan keretapi,” katanya.
Beliau menggesa Kementerian Pengangkutan supaya menimbangkan cadangan itu dengan berkata, landasan keretapi ke Tanah Merah juga bermakna rangkaian stesen yang lebih besar.
Azran, yang bertanding di kerusi Parlimen Jeli mewakili Pakatan Harapan pada pilihan raya umum Mei tahun lepas berkata, landasan keretapi itu akan memacu potensi pertumbuhan ekonomi pada kos lebih rendah berbanding ECRL.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan penduduk tempatan tidak benar-benar akan mengambil bahagian dalam projek ECRL kerana syarikat China terbabit mungkin memilih untuk menggunakan sumber dari negara mereka sendiri.
Dalam nada lain, pakar perdagangan lintas-sempadan itu mencadangkan supaya kerajaan menimbangkan semula untuk membuka perkhidmatan keretapi lintas sempadan antara Sungai Golok di Thailand dengan Rantau Panjang di Kelantan, yang ditutup bagi menghalang penyeludupan.
“Ini akan memperkukuh aktiviti ekonomi lintas-sempadan,” katanya, dengan menambah penguatkuasaan yang mencukupi boleh menghalang kegiatan itu.
Ia juga selari dengan perjanjian Putrajaya dengan Bangkok untuk menyegerakan pembinaan 2 jambatan yang menghubungkan Kelantan dengan Narathiwat di Thailand, bagi mengurangkan kesesakan di lintasan sempadan Bukit Kayu Hitam di Kedah, katanya.
“Kita harus mengeksploitasi perniagaan lintas-sempadan. Kita berdepan dengan pasaran terbuka sekarang dan tidak lagi boleh mengikat tangan sendiri.”
Ulasan
Catat Ulasan