Melayu resah, risau dengan pendekatan kerajaan PH
Oleh Ahmad Lutfi Othman
Keputusan Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands Sabtu lalu memang tidak mengejutkan, walaupun bukan seperti yang diharapkan. BN yang menampilkan calon Orang Asal, mengetepikan wakil tradisi daripada MIC, berjaya mempertahankan kerusi yang disandang sejak lama, dengan menewaskan calon tiga kali daripada DAP (PH).
Saya tidak mampu menganalisis angka-angka berkaitan pengundian atau meneliti ulasan ramai pemerhati politik disebabkan keuzuran serius mutakhir ini, namun cuba untuk memberikan komentar pendek secara umum.
Semua PRK pasca-PRU14 yang bersejarah itu, bermula di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong, Port Dickson dan Cameron Highlands menyaksikan parti penyandang berjaya mengekalkan kerusi.
Maknanya trend pengundian tidak jauh berbeda. Status quo. Tiada yang berubah drastik sejak lapan bulan lalu. Pengundi Melayu dan Orang Asal tetap mendukung Pas dan BN walaupun kedua-duanya kini pembangkang. Masyarakat Tionghua masih bersama Pakatan Harapan. Hanya majoriti kemenangan berubah.
Cuma ada pihak mengharapkan Pakatan Harapan yang memegang tampuk kuasa sejak 9 Mei 2018 mampu melakukan kejutan atas kelebihan sebagai parti pemerintah, khususnya terhadap pengundi Melayu dan Orang Asal.
Seperti saya tekankan dalam tulisan terdahulu, ada sesuatu yang lebih penting daripada perkiraan kalah-menang dalam PRK Cameron Highlands ini.
Mungkin ia tidak menarik minat awam, tetapi di era Malaysia Baharu, usaha pembaharuan struktural dan reformasi institusi begitu mendesak sekali. Sekurang- kurangnya menyediakan tapak kukuh untuk mengubah segala kebejatan regim terdahulu.
Di antara petunjuk penting perubahan adalah kewujudan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berintegriti, tegas, tidak pilih bulu dan berani serta berupaya mengendalikan proses pilihan raya yang adil, bebas dan bersih. SPR tidak harus dianggap seperti sebuah lagi parti komponen gabungan elit pemerintah.
Meskipun undang-undang berkaitan pilihan raya belum diubah ke arah lebih baik, tetapi peraturan sedia ada dikira memadai mengawasi perjalanannya. Isu berbangkit adalah penguatkuasaan dan integriti SPR, selain faktor keprihatinan masyarakat terhadap pilihan raya yang bebas dan adil.
Alhamdulillah, rakyat cakna dengan unsur-unsur salahguna aset atau kemudahan awam seperti ditunjukkan dalam kes kenderaan Jabatan Perhutanan Pahang. Perdana Menteri sendiri terpaksa menyewa helikopter swasta untuk turun berkempen pada hari terakhir.
Di masa lalu parti pemerintah dengan sewenang-wenangnya menjadikan harta dan kemudahan kerajaan seperti milik mereka, dan diperalatkan semahunya semasa berkempen. Masyarakat pula seperti tidak peduli dengan salahguna kuasa itu; malah media memejam mata daripada membongkar sebarang rasuah politik seumpama itu.
Sejak pentadbiran baharu, kempen parti pemerintah menggunakan dana awam dan jentera kerajaan sudah dihentikan. Tiada lagi pelancaran atau perasmian berulang kali ke atas projek-projek pembangunan bertujuan membeli undi. Tiada lagi jalan diturap semasa kempen. Tiada lagi ibu bapa dikerah ke dewan sekolah untuk mendengar syarahan menteri. Tiada lagi propaganda murahan parti kerajaan dalam Berita TV jam 8 malam.
Mungkin untuk empat PRK sebelumnya tidak begitu terasa, tetapi bagi konstituensi luar bandar Cameron Highlands, terutama untuk masyarakat Orang Asal yang membentuk hampir 25 peratus pengundi dan Melayu desa-Felda (hampir 35 peratus) di Dun Jelai, langkah pembaharuan PH mengelak daripada memperalatkan politik naungan-pembangunan itu amatlah disanjung. Ia suatu keberanian tekad politik ke arah demokrasi yang lebih matang.
Namun bagi aktivis politik, tentulah perkiraan kalah-menang menjadi pertimbangan utama. Kemenangan harus direbut dengan apa jua cara.
Justeru, ia perlu diimbangi dengan kesedaran moral untuk menegakkan prinsip-prinsip moral yang tinggi dengan sedaya upaya mengelak penyalahgunaan kuasa, terutama bagi parti kerajaan. Di Cameron Highlands, kedua- duanya yakni PH dan BN berdiri atas status kerajaan, persekutuan dan negeri. Masing-masing terdedah kepada manipulasi dan eksploitasi sumber di bawah bidang kuasa tersendiri.
Bagi pihak PH, tentu ada iktibar di sebalik kekalahan yang sudah dijangka PH itu. Loceng wake-up itu harus menyedarkan tentang segala kelemahan dan kealpaan. Yang peliknya, banyak pihak, termasuk penyokong PH seperti bergembira dengan kekalahan. Kenapa berlaku sedemikian rupa?
“Biar PH kalah bukan hanya di Cemeron Highlands, tetapi juga dalam PRK Semenyih Mac depan.
Biar pemimpinnya sedar, rakyat di bawah terutama golongan B40, semakin tertekan hidup mereka. Kos hidup tak berjaya dikurangkan. Janji manifesto masih banyak belum tertunai,” kata seorang penganalisis politik.
Gandingan terbuka Pas bersama BN, di Cameron Highlands dengan membawa lebih tiga ribu penyokongnya bersama jentera kempen mereka menjadi faktor utama kemenangan. Penyokong Pas walak dengan arahan presidennya, Ustaz Abdul Hadi Awang agar memangkah dacing, meskipun sebahagian mereka begitu berat hati mengundi parti yang menjadi seteru ketat sejak sekian lama. Pas boleh dianggap berjaya “memaksa” ahli-ahlinya untuk “dengar dan taat” kepada setiap arahan parti walaupun akal rasional mereka menolaknya.
Dalam masa sama, Parti Amanah Negara dilihat gagal memainkan peranan untuk memujuk ahli-ahli Pas yang keliru, sekurang-kurangnya untuk tidak keluar mengundi BN. AMANAH sebagai sebuah parti Islam seharusnya berupaya menyusup masuk ke kawasan yang dianggap kubu kuat Pas di Sungai Koyan itu.
Apakah ini bermakna AMANAH kekal dilihat sebagai khadam DAP seperti dimomokkan pimpinan Pas, khasnya Ustaz Hadi?
Berdasarkan trend mengundi penyokongnya di Cameron Highlands, apakah persefahaman di antara Pas dan Umno, akan diikat secara formal di masa depan?
Bersediakah semua penyokong Pas yang mengundi bulan dalam PRU14 untuk menerima keputusan parti agar bekerjasama dengan BN dalam pilihan raya kecil akan datang, seterusnya PRU15?
Mungkinkah 29 konstituensi yang dimenangi PH dalam PRU14, yang menyaksikan jumlah undi Pas dan BN lebih besar daripada undi PH, akan beralih tangan? PH menang susulan pertandingan tiga penjuru di kawasan berkenaan.
Kecenderungan pengundi Cina nampaknya tidak berubah walaupun sebahagiannya yang bermaustautin luar Cameron Highlands tidak pulang ekoran cuti tahun baharu yang terlalu hampir, juga merendahkan lagi undi PH. Hampir 15 peratus penurunan peratusan pengundi Cina dicatatkan.
Sementara peratus mengundi Orang Asal meningkat sedikit berbanding PRU14 dan pengundi Melayu jatuh tujuh peratus.
Sekiranya pengundi Cina kekal peratusan turun mengundi seperti PRU14, keputusan tetap tidak berubah. Ia sudah mencapai siling. Hanya peralihan undi Melayu dan Orang Asal boleh mencatatkan kejutan.
Dipercayai sentimen agama dan kaum dimanipulasi bagi menghalang swing undi tersebut, dan ini sememangnya sudah dijangka dan telah dibaca sejak awal.
Kematian anggota bomba Mohammed Adib Mohd Kassim dalam tragedi rusuhan kuil Hindu di Subang Jaya masih menarik imaginasi dan amarah masyarakat Melayu. Apatah lagi PH menampilkan calon DAP berbangsa India.
Sebenarnya kita tidak memerlukan PRK untuk mengesan keresahan masyarakat Melayu-Islam sama ada difaktorkan oleh sentimen yang disemai pembangkang Pas-Umno, mahupun berdasarkan persepsi negatif mereka terhadap pemerintah.
Di banyak lokasi di seluruh negara, kita seolah-olah terbahagi dua, di antara kerajaan yang dianggap didominasi Cina-bukan Islam dengan pembangkang Melayu- Islam.
Perhatikan, sokongan pengundi Melayu kepada PH di Cameron Highlands tidak sampai pun 10 peratus. Benar, ia meningkat sedikit berbanding PRU14 tetapi masih cukup kecil.
Melayu merupakan golongan majoriti di negara ini, dan tentulah agak janggal bila pemerintah tidak mendapat sokongan majoriti kelompok tersebut. Sekurang-kurangnya ia ditingkatkan dari masa ke semasa, yang boleh ditunjukkan dalam siri PRK.
Situasi ini tidak sihat untuk kestabilan dan keharmonian negara. Prasangka dan saling curiga antara kaum kian menebal. Ditambah dengan beban rakyat seluruhnya akibat kenaikan kos kehidupan, kekurangan peluang pekerjaan, kegagalan menurunkan harga barangan asas, kejatuhan harga komoditi seperti kelapa sawit dan getah, pemotongan subsidi untuk golongan tertentu, janji manifesto yang belum tertunai dan seumpamanya.
Tempoh lapan bulan memang diakui singkat untuk menarik sokongan lebih ramai masyarakat Melayu kepada kerajaan tetapi pencapaian sekarang terlalu perlahan. Menteri-menteri pula dilihat tidak cekap dan mengeluarkan kenyataan bercanggah.
Dalam PRU2018 dianggarkan hanya 25 peratus pengundi Melayu bersama PH. Malah ada kajian yang meletakkan peratusan lebih rendah. Ia harus dipicu dengan segera tetapi bukan mengambil pendekatan ekstrim. Jalan sederhana dan moderat tidak perlu dirombak.
Kempen penerangan harus digerakkan secara meluas dan sistematik, selain mengelak kecelaruan dan salahfaham berterusan. Sejauh ini, usaha penjelasan dan pencerahan boleh dianggap gagal. Sayang sekali, persepsi negatif kepada kerajaan timbul dan diburukkan hanya kerana kegagalan jentera penerangan.
PH harus bijaksana mengurus persepsi terutama berkaitan agama dan kaum, bukannya “mencurahkan minyak ke atas bara api”. Usah ambil mudah, misalnya dakwaan “DAP anti-Islam” atau “AMANAH promosikan Islam Liberal”. Malangnya, saluran komunikasi awam seperti gagal dimanfaatkan sebaiknya. Apa sebenarnya perubahan yang telah dibuat ke atas agensi rasmi seperti RTM dan Bernama? Ataupun ia kekal seperti di bawah regim lama, dengan pegawai-pegawai kanannya yang masih dengan tabiat dan budaya lama?
Kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif pembaharuan, seperti reformasi pencegahan rasuah, kebebasan bersuara, pemisahan cabang-cabang kuasa, menstabilkan harga minyak, langkah penjimatan, membawa pencuri wang rakyat ke mahkamah dan banyak lagi. Namun ia masih jauh daripada imiginasi dan harapan rakyat.
Mereka mahu perubahan yang dekat dengan aktiviti seharian dan membolehkan menikmati gaya hidup lebih berkualiti.
Ya, perjalanan Malaysia Baharu masih terlalu panjang. Usah terlalu mengharap rakyat lebih bersimpati dengan krisis negara akibat peninggalan regim lama. Mereka sudah berani melakukan perubahan. Tunjukkan kesungguhan, kejujuran dan keupayaan tinggi pasukan baharu PH untuk memperbaiki nasib ralyat.
Usah remehkan sensitiviti dan psikik Melayu, tanpa melupakan tugas asasi menyediakan Malaysia sebagai tempat berlindung yang teduh untuk semua warganya.
Dan jangan disingkatkan kerajaan Pakatan Harapan kepada pemerintahan satu penggal!

Ulasan
Catat Ulasan