Tahanan kanak-kanak bawah 18 tahun akan dikaji semula, kata Dr Wan Azizah


KUALA LUMPUR: Penggunaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) terhadap kanak-kanak di bawah usia 18 tahun akan dikaji semula, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Timbalan perdana menteri berkata, beliau prihatin terhadap bentuk tahanan tersebut yang disifatkan sebagai tidak adil.
“Kanak-kanak tidak sepatutnya menjalani kehidupan seorang tahanan. Mereka sepatutnya diberikan peluang kedua.
“Walaupun mereka tidak ditahan seperti penjenayah lain, namun perkara ini perlu dilihat kembali dan saya akan bincang dengan pihak kementerian,” katanya di majlis penyerahan buah limau di Pasar Taman Muda, hari ini.Bagaimanapun, Poca masih dianggap relevan.
“Poca memudahkan polis bertindak, kita tidak tahu siapa berniat baik atau jahat. Akta ini demi menjaga keselamatan rakyat,” katanya.
Berhubung dakwaan bahawa 142 kanak-kanak ditahan di bawah Poca, katanya, bilangan tersebut merujuk kepada individu bawah umur yang ditahan pada 2015 hingga 2017.
Hakikatnya, setakat 30 Januari 2019, hanya seorang yang masih ditahan dan menjalani tempoh tahanan 2 tahun di Pusat Pemulihan Khas Kluang.
Ditanya sama ada tahanan terakhir akan dibebaskan dalam masa terdekat, Wan Azizah menjawab, pihaknya perlu meneliti perkara tersebut dengan beberapa kementerian sebelum membuat keputusan.
Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebelum ini menggesa kerajaan membebaskan 142 kanak-kanak yang ditahan di bawah Poca.
Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy berkata, mereka sepatutnya dikenakan hukuman bawah undang-undang lain dan bukan Poca yang banyak memberi kesan trauma kepada kanak-kanak.
Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph pula menyifatkan penahanan pesalah juvana di bawah Poca adalah tidak selaras dengan penyertaan Malaysia dalam Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Tahanan juvana, katanya, sepatutnya menjalani program rehabilitasi khas, bukannya penjara.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar