'Tiada kekhilafan dalam penubuhan tribunal siasat anggota SPR'

Syahredzan Johan yang merupakan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata tiada kekhilafan berlaku dalam penubuhan tribunal bagi menyiasat menyiasat enam anggota Suruhanjaya Pilihan Raya.
Dalam kenyataan medianya hari ini, Syahredzan menggesa agar semua pihak berhenti membuat kenyataan "tanpa asas" berhubung tribunal berkenaan.
"Semasa laporan (media berhubung tribunal) tersebut tersiar, perdana menteri sudahpun membuat representasi pada Yang di Pertuan Agong pada ketika itu untuk menubuhkan tribunal berkenaan.
"Oleh itu, tidak ada kekhilafan atau ketidakaturan dalam tindakan perdana menteri pada masa itu.
"Ia juga bermakna bahawa tribunal tersebut telah ditubuhkan dengan teratur oleh Agong.
"Oleh kerana Tribunal itu telah ditubuhkan, maka adalah wajar bahawa prosiding dimulakan pada hari itu, walaupun untuk menentukan sama ada ia patut diteruskan atau tidak," kata Syahredzan yang juga merupakan peguam.
Pada hari pertama pendengaran tribunal itu Rabu lalu, peguam M Puravelan yang mewakili Badan Peguam Malaysia memberitahu panel lima anggota prosiding bahawa tribunal itu bersifat akademik memandangkan kesemua yang disiasat sudah meletakkan jawatan.
Susulan itu, pengerusi tribunal itu, Steve Shim Lip Kiong mempersoalkan sama ada tribunal itu masih mempunyai sebarang matlamat memandangkan ia sudah dianggap "akademik".
Peguam Negara Tommy Thomas kemudian tampil mempertahankan penubuhan tribunal itu dan menjelaskan pihak yang disiasat tidak boleh terlepas daripada penelitian semata-mata kerana telah meletakkan jawatan.
Ini kerana, jelas Thomas, pertuduhan salah laku melibatkan anggota SPR berkenaan amat serius, dan sekiranya dibuktikan, akan menunjukkan kesalahan cara pengelolaan PRU-14.
Dalam kenyataan berasingan, peguam Haniff Khatri Abdulla pula menggesa Thomas memohon maaf berhubung penubuhan tribunal itu yang disifatkannya sebagai "memalukan dan menjengkelkan".
'Tuduhan serius'
Sementara itu, Syahredzan dalam kenyataanya hari ini menyifatkan cadangan agar Agong menolak peletakan jawatan anggota SPR berkenaan sehingga tribunal mencapai keputusan, sebagai tidak berasas.
Ini kerana, katanya, Perkara 114(3) Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa kepada Agong untuk menolak atau menangguhkan peletakkan jawatan tersebut.
"Harus diingat bahawa terdapat tuduhan-tuduhan yang serius terhadap anggota-anggota SPR semasa PRU ke-14.
"Sekiranya tribunal mendapati bahawa mereka masih boleh meneruskan persidangan dan fungsi mereka bukan sekadar akademik, maka tuduhan-tuduhan terhadap bekas anggota SPR ini mesti disiasat dengan menyeluruh.
"Mereka tidak wajar melepaskan diri daripada menjawab tuduhan-tuduhan ini dengan meletakkan jawatan," tambahnya.
Syahredzan turut menafikan dakwaan yang mengatakan PRU akan diadakan sekiranya tribunal mendapati berlaku salah laku oleh anggota-anggota SPR tersebut.
"Ini adalah dakwaan yang mengarut; Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa suatu keputusan Pilihan Raya hanya boleh dicabar melalui petisyen pilihan raya.
"Akta Kesalahan Pilihan Raya pula dengan jelas menyatakan petisyen pilihan raya mesti difailkan dalam tempoh 21 hari selepas ia disiarkan dalam warta. Oleh yang demikian, masa untuk memfailkan petisyen bagi PRU ke 14 sudah lama berlalu," katanya.
Oktober tahun lalu, Malaysiakini melaporkan kerajaan akan menubuhkan tribunal berkenaan bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh SPR dan kemungkinan penglibatan pesuruhjayanya, terutamanya ketika pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.
Namun pada 27 Nov lalu, kesemua enam anggota SPR yang disiasat tribunal itu sudah meletakkan. Mereka ialah Othman Mahmood, Mohd Yusop Mansor, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi, K Bala Singam dan Leo Chong Cheong.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu