'Jutaan ringgit wang Maika disalurkan pada syarikat berkaitan Vell Paari'

Berjuta-juta ringgit didakwa disalurkan kepada syarikat yang dikaitkan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maika Holdings Vell Paari sebelum penutupan syarikat MIC itu pada 2009, dakwa Sarawak Report.
Laman pembocor maklumat itu mendakwa wang berkaitan dipindahkan kepada syarikat berkaitan Vell Paari dalam bentuk tunai dan bayaran lain antara 2003 hingga 2009.
Sarawak Report berkata mendapat maklumat itu daripada dokumen berkaitan pembubaran Maika yang didakwa merujuk kepada bukti “salah laku dan salah guna dana” syarikat ketika pembubarannya.
Maika diilhamkan oleh bekas presiden MIC S Samy Vellu yang juga bapa Vell Paari. Syarikat pelaburan itu ditubuhkan pada awal 1980-an.
Ia sebelum itu mengumpulkan pelaburan RM100 juta daripada masyarakat India yang kebanyakannya daripada golongan kelas bawah dan pertengahan.
Bagaimanapun, dakwaan salah tadbir dikatakan menyebabkan kerugian sehingga ramai pelabur tidak mendapat pulangan.
Sarawak Report percaya pendedah maklumat telah membuat laporan polis dan menyerahkan maklumat kepada SPRM, yang mereka takut lakukannya ketika kerajaan lama,” menurut rencana itu.
Menurut Sarawak Report lagi, dokumen yang dilihatnya menunjukkan, antara bayaran dibuat termasuk transaksi tunai dari Maika kepada Vell Paari tanpa maklumat lanjut selain disebut “promotional finder fees
'Tiada kelulusan lembaga pengarah'
Lebih RM30,000 juga didakwa dibayar kepada sebuah syarikat guaman, didakwa bagi menyelesaikan yuran guaman bagi tindakan peribadi ibu Vell Paari terhadap urusan yang tidak berkaitan dengan Maika.
Selanjutnya RM1.3 juta didakwa dibayar kepada syarikat permotoran Australia OKA Motor Company Limited. Transaksi dikatakan dibuat sembilan kali dari 1999 hingga 2000 atas alasan “pemindahan teknologi”.
Bayaran lain didakwa termasuk pemindahan AS$3.12 juta (RM11 juta ) kepada sebuah lagi syarikat dikaitkan dengan Vell Pari di Afrika Selatan Reumech OMC yang mengeluarkan kereta perisai. Transaksi ini dikatakan diluluskan Bank Negara,
RM1.3 juta lagi dikatakan dibayar kepada syarikat pengedaran filem Vell Paari yang mengedarkan filem terkenal Sivaji lakonan Rajinikanth serta akhbar Tamil Nesan.
Vell Paari ialah pengarah urusan syarikat itu.
Sarawak Report mendakwa bayaran-bayaran itu tidak mendapat kelulusan lembaga pengarah Maika.
Vell Paari ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan berkaitan dakwaan itu esok.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu