Sarawak Report sahkan Hadi bayar RM1.4 juta selesai kes saman RM90 juta

Sarawak Report hari ini mengesahkan dakwaan presiden PKR, Anwar Ibrahim bahawa Clare Rewcastle-Brown dibayar sebanyak RM1.4 juta oleh Abdul Hadi Awang sebagai sebahagian daripada penyelesaian luar mahkamah mereka berkaitan satu saman fitnah yang difailkan di London.
Ini susulan kenyataan setiausaha agung PAS, Takiyuddin Hassan yang menafikan dakwaan Anwar dengan berkata, penyelesaian itu tidak melibatkan apa-apa pertimbangan kewangan.
“Tidak ada dokumen yang menunjukkan Sarawak Report tidak dibayar. Sebaliknya kami membunyi banyak bukti yang menunjukkan kami dibayar oleh ejen Abdul Hadi bagi membolehkan beliau menarik balik tuntutannya,” lapor portal pemberi maklumat itu.
Portal itu berkata, ia terpaksa mendedahkan maklumat penyelesaian itu selepas pemimpin PAS menafikan laporan media bahawa pembayaran itu benar-benar berlaku.
“Dalam proses tersebut, mereka melanggar terma penyelesaian yang mereka sendiri kenakan, iaitu tidak membincangkan terma penyelesaian.
“Justeru Sarawak Report berhak mendedahkan perkara sebenar kepada rakyat Malaysia dan berharap ini akan memuktamadkan perkara ini,” tambahnya.
Laman web itu juga menerbitkan gambar satu cek bank Islam bernilai RM1.422,980 atas nama Clare Rewcastle-Brown.
Wang itu bertujuan membayar kos guaman Clare bagi mencabar saman Hadi.
Berhubung bagaimana Anwar tahu tentang perkara tersebut, Sarawak Report memberitahu, ia didasarkan kepada satu surat daripada Clare kepada Malayan Banking Bhd mengesahkan bahawa beliau mengarahkan peguamnya memindahkan wang sebanyak RM1.4 juta ke akaunnya di Barclays Bank di London dengan wang itu ditukar kepada 260,000 pound British.
Anwar sebelum itu berkata, beliau mempunyai bukti Hadi terpaksa membayar wang kepada wartawan British itu bagi menghentikan saman fitnahnya.
“Saya hanya mahu bertanya apakah PAS membuat apa-apa bayaran kepada Clare. Lebih satu juta ringgit? Tetapi saya tidak dapat sahkan,” katanya di Pulau Pinang, Selasa lepas.
Hadi memfailkan saman terhadap Clare di Mahkamah Tinggi London berhubung artikel beliau dalam Sarawak Report pada Ogos 2017 yang menyebut bahawa pemimpin kanan PAS mungkin menerima wang berjumlah RM90 juta daripada bekas perdana menteri dan presiden Umno, Najib Razak.
Pada Januari lepas, kedua-dua pihak bersetuju menerima penyelesaian luar mahkamah berhubung saman berkenaan.
Berikutan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) bertindak menyiasat dakwaan bahawa pemimpin PAS menerima wang yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.
Minggu lepas SPRM berkata, ia belum menemui apa-apa bukti transaksi sedemikian ke dalam akuan PAS.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu