Saya didekati 'ejen' PAS - Rewcastle-Brown

KUALA LUMPUR: Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, mengesahkan beliau didekati ‘perantara’ dari PAS yang menawarkan penyelesaian di luar mahkamah berhubung kes saman presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, terhadapnya.
Katanya, terdapat rundingan meluas antara beliau dengan perantara mewakili PAS ketika itu, yang prosesnya direkod oleh Sarawak Report .
“Rekod berkenaan disampaikan kepada (Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang) dan ejennya dalam PAS yang terbabit dalam kes berkenaan (Peguamcara London, Carter Ruck, mengesahkan syarikatnya mewakili Hadi dan PAS dalam kes ini).
“Akhirnya, (Abdul) Hadi dan penasihatnya dalam PAS bersetuju dengan Sarawak Report mengenai terma termasuk pembayaran RM1.4 juta, sebagai penyelesaian di luar mahkamah bagi kes saman membabitkan Abdul Hadi,” katanya.
Difahamkan, seorang perantara PAS, seorang peguam dan seorang penyokong PAS melawat peguam Sarawak Report di Kuala Lumpur pada 24 Januari bagi memuktamadkan syarat berkenaan.
Rewcastle-Brown, di laman blog Sarawak Report semalam berkata mereka memaklumkan ingin membayar jumlah wang berkenaan secara tunai pada minggu berikutnya tetapi peguam Sarawak Report menolak.
Sebaliknya, tambah beliau, peguam terbabit menerima cek bertarikh ke depan (post-dated cheque) bertarikh 31 Januari daripada salah seorang perantara (kerana mahukan masa untuk mendapatkan wang daripada PAS yang membiayai kes Abdul Hadi).
Dalam penulisannya, Rewcastle-Brown berkata PAS dan Abdul Hadi sememangnya ingin mencari apa saja jalan untuk menjauhkan diri daripada hakikat bahawa mereka membayar untuk menghentikan kes dan mengelak perbicaraan.
“Abdul Hadi dan sekutunya dalam PAS ternyata bersedia membuat bayaran semata-mata untuk mengelak disoal balas berhubung percanggahan keterangan mereka di mahkamah, sekali gus mengelakkan potensi samannya ditolak dan terpaksa membayar kos mahkamah.
“Tambahan pula, jika keterangan mereka terus bercanggah di mahkamah, bermakna ada yang memberi keterangan palsu (perjury) dan tindakan saman di mahkamah London adalah patuh syariah, di mana menipu menjadi satu kesalahan di mahkamah sivil di UK, sama seperti di kebanyakan negara Islam.
“Penyelesaian di luar mahkamah tidak mewajibkan Sarawak Report memberi sebarang komitmen kepada tuntutan Abdul Hadi termasuk untuk menutup mulut berhubung bayaran UMNO kepada PAS, malah Sarawak Report enggan meminta maaf atau menghentikan laporan demi kepentingan umum,” katanya.
Bagaimanapun, kata Rewcastle-Brown, kenyataan umum PAS baru-baru ini cuba mengelirukan pemahaman rakyat Malaysia kononnya Sarawak Report tidak menerima bayaran dan dengan sendirinya menarik diri daripada mempertahankan kedudukannya.
“Dalam proses berkenaan, PAS melanggar syarat perjanjian yang mereka sendiri letakkan supaya terma persetujuan tidak dibincangkan dan berlandaskan alasan itu, Sarawak Report berhak mendedahkan kebenaran kepada rakyat Malaysia dan berharap dapat mengakhiri isu berkenaan.
“Tambahan pula, Abdul Hadi dapat melepaskan diri daripada kes yang mengancam memperbodohkan dirinya serta PAS di London dan beliau harus bersyukur untuk itu,” katanya.
Rewcastle-Brown turut melampirkan salinan menunjukkan dokumen pihaknya dibayar oleh ejen Ahli Parlimen Marang itu bagi membolehkan tuntutan ditarik balik.
“Kami dimaklumkan bahawa surat (transaksi) kepada Malayan Banking Berhad (Maybank) adalah dokumen yang diperoleh oleh (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim).
“Ia menunjukkan Sarawak Report, mengikut peraturan pengubahan wang haram, terpaksa menjelaskan penghantaran keluar sejumlah wang bersamaan £ 260,000 (RM1.422, 980.00) dari Malaysia ke London,” katanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu