Kabinet putusan Bangunan Malaysia di HK dijual secara tender terbuka


Kerajaan memutuskan supaya penjualan tanah dan Bangunan Malaysia di Hong Kong tidak dilakukan secara rundingan terus tetapi sebaliknya secara tender terbuka, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Menurutnya, kabinet memutuskan proses penjualan dan pelupusan hartanah itu dilakukan secara tender terbuka untuk memastikan kerajaan mendapat nilai terbaik.
“Keputusan itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk menjalankan pentadbiran dengan berpandukan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), sekali gus memastikan kebajikan rakyat dipelihara dengan sebaiknya dalam setiap keadaan.
“Kerajaan terdahulu memutuskan untuk menjual tanah dan bangunan berkenaan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat pada harga RM1.1 bilion, yang mana surat tawaran dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan sebelum 9 Mei 2018.
“Akan tetapi selepas perubahan kerajaan, Kementerian Kewangan menerima beberapa tawaran lain pada nilai yang lebih tinggi, setinggi RM1.6 bilion berbanding dengan harga yang ditawarkan oleh kerajaan terdahulu melalui rundingan terus sebanyak RM1.1 bilion,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Lim berkata, proses tender terbuka untuk penjualan tanah dan bangunan itu sedang berjalan, dan diyakini akan dapat memberikan hasil yang bersesuaian dengan nilai sebenar hartanah terbabit, sekali gus memberikan penjimatan terhadap perbelanjaan kewangan kerajaan.
Menurut beliau, mesyuarat kabinet kerajaan terdahulu mencadang dan memutuskan untuk menjual tanah dan melupuskan bangunan tersebut secara rundingan terus pada 14 Mac 2018 disebabkan, di antara lain, kos membaik pulih bangunan tersebut terlalu tinggi sehingga mencecah RM300 juta.
“Adalah dikesali apabila bekas Menteri Kewangan Najib Razak cuba mengelak daripada menjawab soalan mengapa pentadbiran beliau memutuskan untuk menjual tanah dan bangunan itu secara rundingan terus dan bukan secara tender terbuka.
“Sebaliknya, beliau cuba mengalihkan perhatian dengan bertanya sama ada projek terowong bawah dasar laut di Pulau Pinang juga dijalankan secara tender terbuka,” katanya.
Lim juga menegaskan, projek terowong bawah dasar laut di Pulau Pinang dijalankan secara tender terbuka selaras dengan dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, sudah tiba masanya untuk Najib menjelaskan mengapa beliau bersetuju dengan penjualan tanah dan bangunan terbabit secara rundingan terus dengan harga yang begitu rendah iaitu RM1.1 bilion, berbanding dengan harga tawaran lain setinggi RM1.6 bilion.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar