Kes Dadah: Pegawai polis mengaku tak bersalah terima rasuah RM1.35 juta

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 4 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.35 juta daripada 2 lelaki sebagai balasan menyelesaikan kes pengedaran dadah, 2 tahun lalu.
Gan Chee Liang, 36, dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan ke atasnya secara berasingan di depan Hakim Azman Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama dan ke-2, Gan didakwa menerima RM800,000 dan RM175,000 daripada Lim Chok Siong, 41, sebagai balasan menyelesaikan kes Victor Goh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dia dituduh melakukan 2 kesalahan itu di Jalan Pirau PJ, Bangsar, di sini pada 29 Mac 2017 dan di stesen minyak BHP di Jalan Bunga Mawar, Taman Muda, Ampang, keesokannya. Bagi pertuduhan ke-3 dan ke-4, Gan didakwa atas tuduhan sama menerima RM300,000 dan RM75,000 daripada Yeong Kok Wah, 51, sebagai upah menyelesaikan kes Victor Goh di bawah seksyen sama.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Holiday Palace Reflexology, Jalan Changkat Thambi Dollah, Pudu, pada 28 April dan 13 Jun 2017.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan, mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pegawai pendakwa SPRM, Wan Ahmad Nidzam Wan Omar mencadangkan ikat jamin RM100,000 bagi setiap pertuduhan dengan 2 penjamin tempatan, mengambil kira tertuduh berdepan 4 pertuduhan membabitkan jutaan ringgit.
Peguam, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan yang mewakili Gan memohon jumlah jaminan rendah dengan alasan anak guamnya tidak sempat mencari penjamin yang mampu membayar jaminan tinggi.
“Penjamin adalah adik perempuan tertuduh, seorang guru tadika dan abang tertuduh, penyelia tapak pembinaan.
“Tertuduh hanya dimaklum semalam akan dituduh di mahkamah hari ini, tidak sempat mencari penjamin yang mampu membayar jaminan tinggi. Tertuduh hanya mampu menyediakan RM10,000,” katanya sambil menambah Gan memberi kerjasama sepanjang siasatan SPRM dan sedia menerima syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.
Azman membenarkan Gan diikat jamin RM80,000 dengan 2 penjamin warganegara Malaysia bagi 4 pertuduhan itu dan 2 syarat tambahan, iaitu Gan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan sehingga kesnya selesai.
Mahkamah menetapkan 29 April ini untuk sebutan semula kes.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu