'Malaysia, New Zealand perkukuh hubungan tangani keganasan'


Ini adalah hasil rundingan antara Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan rakan sejawatannya Winston Peters di ibu negara hari ini.
"Kami bersetuju memperkukuh hubungan bilateral dalam menentang durjana terorisme," kata Dr Wan Azizah kepada media selepas mesyuarat mereka di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.
Serangan ke atas dua masjid semasa sembahyang Jumaat pada 15 Mac itu mengorbankan 50 jiwa, termasuk seorang warga Malaysia belasan tahun. Berpuluh yang lain cedera.
Pada mesyuarat itu, Dr Wan Azizah berkata beliau turut menyampaikan ucapan takziah bagi pihak kerajaan Malaysia kepada kerajaan New Zealand dan rakyatnya serta semua keluarga mangsa.
"Kerajaan Malaysia bangkit bersama kerajaan New Zealand pada saat-saat sedih ini," katanya pada sidang akhbar bersama dengan Peters yang juga menteri luar New Zealand.
Dr Wan Azizah berkata beliau melahirkan penghargaan kerajaan kepada kerajaan New Zealand atas segala bantuan yang diberi kepada mangsa rakyat Malaysia dalam serangan itu yang mendapat kutukan meluas daripada masyarakat New Zealand dan dari serata dunia. Tiga rakyat Malaysia adalah antara yang cedera.
Peters, yang berada di sini untuk lawatan kerja dua hari berkata,”Mangsa serangan teroris yang cukup mengejutkan itu termasuk warga Malaysia, dan mereka serta keluarga dan masyarakat sentiasa dalam ingatan kami.”
Katanya, kerajaan New Zealand menghulurkan segala bantuan kepada mereka yang terjejas akibat kejadian itu.
"Kita adalah negara yang mengamalkan toleransi agama. Serangan ke atas seorang daripada kita dalam mengamalkan kepercayaan kita, merupakan serangan ke atas kita semua,” katanya.
Beliau berkata New Zealand amat berterima kasih atas pernyataan simpati dan sokongan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, pemimpin-pemimpin Malaysia lain, organisasi masyarakat sivil dan masyarakat Islam di sini secara umumnya.
"Perkara paling penting yang kami sedari dan lihat tidak sahaja dari negara-negara seantero dunia tetapi khususnya dari 57 negara Islam, ialah tahap persefahaman dan sokongan mereka.
"Kami amat tersentuh bila Malaysia bangkit bersama kami pada saat-saat sedih ini,” katanya.
Mesej NZ kepada rakyat Malaysia

Beliau berkata negaranya juga terharu dengan kunjungan oleh 50 pertubuhan Islam dan sivil ke Suruhanjaya Tinggi New Zealand di sini menyampaikan mesej perpaduan sejak serangan itu berlaku.
Peters, pemimpin pertama New Zealand yang melawat Malaysia selepas serangan kejam itu turut menyampaikan ucapan takziah dan simpati semua rakyat New Zealand kepada mereka yang terjejas.
"Mesej kami kepada rakyat Malaysia dan di serata dunia ialah... Mari kita berusaha dengan lebih gigih bagi menyebarkan toleransi, ihsan dan persefahaman," katanya.
Peters turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah dan Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat Anwar Ibrahim.
Peters dijadual berlepas dari Malaysia petang ini.
Sementara itu, Dr Wan Azizah yakin hubungan bilateral antara kedua-dua negara dalam bidang lain akan kekal kukuh dan kerjasama diperluas.
"Kedua-dua Winston Peters dan saya telah bersetuju memperkukuh kerjasama yang sedia wujud antara Malaysia dan New Zealand," kata beliau.
Dr Wan Azizah menyebut perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan dan hubungan antara rakyat dengan rakyat sebagai bidang yang boleh dipertingkatkan lagi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu