MB Negeri Sembilan hadapi dilema tak boleh letak jawatan presiden kelab


PETALING JAYA: Kelab Golf Antarabangsa Seremban berhadapan dengan masalah baru apabila presidennya, Aminuddin Harun, mahu letak jawatan selepas ahli-ahlinya mengundi bagi mengembalikan jualan bir di premis kelab.
Aminuddin sendiri mungkin berhadapan dilema.
Ini kerana perlembagaan kelab menyebut menteri besar Negeri Sembilan turut memegang jawatan presiden kelab.
Bekas setiausaha kelab, Shanjoy Choudhury menjelaskan Aminuddin tidak boleh letak jawatan sebagai presiden kelab tersebut.
“Artikel 15.11 menyebut, presiden, buat masa ini, sesiapa yang memegang jawatan menteri besar Negeri Sembilan.
“Ini bermakna beliau hanya boleh berundur sekiranya beliau letak jawatan menteri besar atau dipecat sebagai menteri besar,” katanya.
Sejak 1991, menteri besar secara automatik menjadi presiden dan setiasaha negeri menjadi timbalan presiden.
Menteri besar juga melantik setiausaha, bendahari, kapten dan 5 ahli jawatankuasa.
Kerajaan negeri memiliki padang golf 18 lubang itu, tetapi kelab dan kemudahan sukan dimiliki 1,500 ahli kelab, yang kebanyakan terdiri daripada penjawat awam, pesara dan kakitangan sektor swasta.
Choudhury, yang menjadi ahli jawatankuasa sebelum memegang jawatan setiausaha antara 2003 dan 2014 berkata, Aminuddin boleh terus jadi presiden, tetapi tidak mempengerusikan mesyuarat dan tidak menyertai sebarang kegiatan kelab.
Katanya, sebagai alternatif, Aminuddin boleh tidak menjadi presiden sekiranya perlembagaan kelab dipinda supaya menteri besar tidak perlu jadi presiden secara automatik dan jawatan itu boleh dilantik dalam kalangan ahli kelab.
Choudhury mengulas hasrat Aminuddin meletakkan jawatan presiden apabila ahli-ahlinya sebulat suara mengundi untuk membatalkan pengharaman jualan bir di kelab yang dikuatkuasakan Ogos lalu.
“Saya akan letak jawatan. Cuma belum sempat nak tulis hari ini. Pada dasarnya saya sudah meletak jawatan,” katanya kepada pemberita pada Isnin.
Sebelum itu, beliau menyuarakan hasrat mahu letak jawatan tersebut sekiranya minuman keras terus dijual di kelab berkenaan.
Menurut Aminuddin, menjual alkohol di kelab itu tidak mengambil kira sensitiviti tempatan memandangkan kelab tersebut dikelilingi masjid-masjid dan taman perumahan yang didiami kebanyakannya oleh orang Islam.
Beliau menghormati keputusan ahli kelab yang dibuat dalam mesyuarat agung tahunan luar biasa Ahad lalu.
“Saya tak ada masalah,” katanya, dan menambah perlembagaan kelab membolehkan penjualan arak di situ.
Bir disaji di kelab tersebut sebelum Ogos lalu. Jualan bir diharamkan pada bulan itu selepas Aminuddin menjadi menteri besar.
Ahli-ahli kelab menyifatkan keputusan menghentikan penjualan bir bertentangan dengan perlembagaan kelab dan tidak selaras dengan amalan menjual dan menyaji bir di kelab berkenaan yang berjalan selama 63 tahun.
Mereka juga menganggap pengharaman itu berlawanan dengan kehendak majoriti ahli kelab.
Choudhury memberitahu, bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohd Isa Abdul Samad tidak pernah mempengerusikan mesyuarat kelab pada 2003 ketika menjadi presiden.
“Timbalannya, iaitu setiausaha kerajaan negeri, mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bulanan,” katanya.
Katanya, peruntukan bahawa mana-mana ahli yang gagal hadir mesyuarat kelab 3 kali berturut-turut tanpa sebab munasabah dianggap meletakkan jawatan tidak terpakai pada presiden dan timbalan presiden.
Choudhury berkata, perlembagaan membenarkan seorang daripada 2 naib presiden, kapten kelab dan mana-mana ahli jawatankuasa kelab tersebut mempengerusikan mesyuarat.
“Kehadiran 9 daripada 17 ahli jawatankuasa, termasuk pengerusi, sudah dikira cukup korum (untuk mesyuarat),” katanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu