Media masih cari arah tuju setahun selepas PRU14

Malam Wartawan Malaysia berlangsung 26 April lalu, kira-kira 2 minggu sebelum genap setahun pentadbiran Pakatan Harapan apabila gabungan itu memenangi pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei tahun lalu.
Image result for media malaysiaDalam majlis anjuran Institut Akhbar Malaysia itu, bekas pengerusi Media Prima Berhad dan bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan, Johan Jaaffar diumumkan Tokoh Wartawan Negara ke-8.
Ketika berucap menerima anugerah itu, Johan berkata: “Ahli politik boleh datang dan pergi, tapi kita tetap berada di sini. Kita tidak akan dinilai kerana kesetiaan kita kepada mereka, tetapi kerana kredibiliti, wibawa dan profesionalisme kita. Itu sahajalah nasihat saya kepada pengamal media masa ini.
“Saya gembira kerana ada angin segar kebebasan baru media di negara ini akibat kemenangan PH dalam pilihan raya umum tahun lalu. Bagi saya, kebebasan baru itu harus dipertahankan. Manfaatkanlah keterbukaan baru itu sebaik-baiknya.
“Bagi kerajaan pula, ini bukan percubaan. Kita tidak mahu keadaan lama berleluasa di mana ‘the control over the press was inversely proportional to the strength of the ruling party’ (kawalan terhadap akhbar berlawanan kekuatan parti pemerintah). Bila kerajaan lemah, maka kawalan ke atas media diperketatkan. Zaman itu mudah-mudahan sudah berakhir.
“Namun demikian, kebebasan tanpa tanggungjawab pasti membawa kerosakan. Harapan saya hanyalah kerajaan PH akan menunaikan janjinya dalam memastikan undang-undang, akta dan peraturan yang tidak relevan dengan zaman, yang bersifat pukat tunda dan membataskan kebebasan bersuara dan media harus dikaji atau dimansuhkan.
“Harapan saya juga ura-ura mewujudkan Majlis Media Malaysia harus dijadikan realiti. Ini bagi memastikan integriti kewartawanan kita sentiasa dipertahankan. Salah satu elemen penting di dalamnya membabitkan Biro Aduan Media. Majlis ini perlu menjadi inisiatif industri dan bukan sebahagian ‘outfit’ penguasa.”
Sentimen itu mencerminkan hati nurani wartawan berpengalaman lama dalam media massa arus perdana. Apabila disebut berpengalaman lama dalam media massa arus perdana, ia bermaksud mereka yang pernah berkhidmat di bawah pemerintahan Barisan Nasional.
Dalam kata-kata itu, beliau menyeru wartawan arus perdana menyesuaikan diri dalam suasana politik.
Beliau menyentuh keadaan di mana ahli politik sentiasa berubah, tetapi wartawan kekal menjalankan tugas. Di situ, beliau meletakkan kepentingan integriti sebagai nilai teras wartawan, bukannya kesetiaan kepada ahli politik tertentu semata-mata.
Sememangnya di kalangan wartawan, mereka mempunyai kecenderungan politik yang pelbagai.
Ada yang mendokong BN dan mengharapkan ia kembali berkuasa, ada pula yang menyokong PH dan inginkan kerajaan sedia ada dipertahankan. Tidak kurang pula yang berkecuali dan tidak mendokong mana-mana pihak.
Namun begitu, semua wartawan perlu akur kepada arahan pihak atasan di tempat kerja mereka. Selama ini di bawah BN, semua media arus perdana perlu mendokong parti pemerintah. Tetapi selepas PRU14, mereka bebas menentukan arah tuju mengikut kehendak majikan masing-masing.
Dalam menghadapi keadaan ini, ada media arus perdana yang terus mendokong BN dan ia jelas mengharapkan parti itu kembali berkuasa. Ada pula menyokong kerajaan PH dan yang lain pula bersikap berkecuali.
Umumnya, wartawan menghendaki kebebasan akhbar walaupun selama ini mereka bekerja dengan media arus perdana dikuasai BN, tetapi mereka tidaklah terang-terangan menentang kerajaan BN kerana tidak memegang prinsip kebebasan media.
Untuk membolehkan mereka terus berkarya dalam media arus perdana, mereka wajar menerima keadaan itu. Tetapi, ada juga wartawan yang berpendapat kongkongan kerajaan BN terhadap media adalah wajar sebagai parti berkuasa ketika itu.
Di pihak pembangkang, mereka menuntut kebebasan media ketika BN berkuasa, malah ia dijadikan janji pilihan raya.
Ada sebahagiannya menjadikan kebebasan media antara prinsip perjuangan mereka dalam dokongan terhadap demokrasi, tetapi ada sebahagiannya membuat tuntutan itu kerana mahu mesej parti bebas disampaikan kepada rakyat, suatu yang terhalang di bawah pemerintahan BN.
Selepas PH memenangi PRU14, ia membuka ruang kepada kebebasan media.
Akhbar arus perdana yang menentang PH tidak diganggu, tetapi apabila serangan kuat dari penyokong BN terhadap kerajaan PH, termasuk penggunaan berita palsu, maka penyokong kerajaan juga resah dan mula menuntut media wajar dikawal. Jika tidak, mereka percaya PH akan kecundang dalam PRU15.
Sekarang, landskap media berubah dengan cepat dengan bahan cetak sedang ditinggalkan pembaca.
Pada awal ucapannya, Johan berkata: “Rasanya saya sebahagian daripada generasi ‘orang surat khabar lama’ yang semakin berkurangan. Generasi saya tidak lagi aktif memimpin akhbar atau organisasi media. Kami merupakan ‘the last of the Mohicans’.”
Penulis yang turut hadir dalam majlis itu sebagai tetamu beliau, juga daripada generasi lama.
Peralihan generasi cetak kepada atas talian sedang berlaku dengan model perniagaan yang masih kacau. Maka, Malam Wartawan itu menyaksikan juga peralihan itu.
Wartawan generasi lama masih ada, walaupun semakin berkurangan dengan kemunculan wartawan muda dan baru yang akan melanjutkan fasa media massa tanpa cetak pada masa depan.
Malam Wartawan Malaysia minggu lalu diadakan buat kali ke-2 selepas kemenangan PH pada 9 Mei 2018. Tahun lalu, majlis yang diadakan pada Julai itu dirasmikan Menteri Luar, Saifuddin Abdullah, ahli politik PKR dan bekas pemimpin Umno.
Tahun ini, Malam Wartawan Malaysia dirasmikan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, ahli politik PPBM. Walaupun Maszlee bukan bekas ahli Umno, tetapi PPBM ialah parti yang ditubuhkan bekas ahli Umno.
Malam Wartawan Malaysia mula diadakan pada 1981, tahun Dr Mahathir Mohamad mula menjadi perdana menteri. Pertama kali penulis menghadiri majlis itu pada 1982 di Dewan Nirwana, Hotel Hilton yang kini bangunannya sudah tiada.
Pada malam itu, Mahathir menyampaikan ucapan perasmian. Bukan itu saja, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Musa Hitam turut hadir. Begitulah kepentingan Malam Wartawan dan media massa kepada kerajaan.
Media massa di Malaysia terletak di bawah menteri komunikasi dan multimedia yang dahulunya dikenali sebagai menteri penerangan. Portfolio itu kini dipegang Gobind Singh Deo, ahli politik DAP.
Melihat cara beliau mentadbir, media massa sedia ada tidak begitu diperhatikan, mungkin ia sebahagian sikap kerajaan PH untuk tidak mengongkong kebebasan media.
Maka, tidak hairanlah walaupun sudah 2 kali Malam Wartawan Malaysia diadakan selepas PRU14, ia tidak dirasmikan perdana menteri, timbalan perdana menteri atau menteri komunikasi dan multimedia.
Namun, kehadiran A Kadir Jasin, penasihat media dan komunikasi perdana menteri yang merupakan antara pemimpin tinggi PPBM ang turut menyampaikan ucapan pada majlis itu menunjukkan keprihatinan kerajaan PH terhadap majlis itu.
Dalam majlis itu, tokoh daripada parti komponen PH juga kelihatan. Peralihan sedang berlaku, tetapi begitu perlahan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar