PRK Sandakan: SPR pertahan lantikan Lajim


Pelantikan Lajim Ukin sebagai pemerhati pilihan raya semasa Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan adalah mewakili kategori agensi kerajaan yang berkelayakan.
Ia di bawah Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) dan tidak mewakili parti politik yang dianggotai.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata pihaknya mengambil maklum berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh BERSIH 2.0, semalam berhubung penyertaan Lajim sebagai pemerhati pilihan raya semasa hari penamaan calon bagi PRK Sandakan.
Katanya, BERSIH 2.0 mempersoalkan tindakan SPR yang melantik ahli politik yang aktif iaitu Lajim Ukin sebagai pemerhati dan diragui boleh bersikap saksama.
Dalam satu kenyataan SPR hari ini, Azhar berkata sebagai makluman SPR telah menetapkan kriteria sebagai pemerhati iaitu Agensi Kerajaan berkelayakan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau organisasi berkelayakan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (syarikat yang tidak berorientasikan keuntungan sahaja).
Kriteria lain adalah individu warganegara Malaysia yang berkemahiran dan dapat menyumbang kepada penambahbaikan proses pilihan raya, melaksanakan aktiviti yang dekat dengan masyarakat, bersikap berkecuali dan mematuhi kod etika dan Akujanji Pemerhati Pilihan Raya.
Dalam pemilihan dan pelantikan pemerhati pilihan raya SPR, kelayakan permohonan individu ataupun organisasi yang memohon akan dinilai mengikut kriteria yang telah ditetapkan, katanya.
SPR juga menyediakan “Aku Janji” untuk ditandatangani oleh pemerhati yang dilantik dan adalah ikrar yang perlu dipatuhi semasa bertugas.
"Jika terdapat pemerhati yang tidak mematuhi dan melanggar “Aku Janji” berkenaan, mereka boleh digugurkan dan boleh disenarai hitamkan daripada menjadi pemerhati pada mana-mana pilihan raya," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, SPR sentiasa peka dengan isu pelantikan pemerhati pilihan raya yang dibangkitkan oleh BERSIH 2.0 serta pihak berkepentingan yang lain.
Katanya, SPR akan mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk mengkaji semula kriteria pemilihan bagi Pemerhati Pilihan Raya setelah menerima maklumbalas dari pihak berkepentingan yang relevan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu