Jawatankuasa Pengurusan Hutang mula bincang hutang RM1.1 trilion


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengurusan Hutang (JPH) yang baru ditubuhkan dengan dipengerusikan menteri kewangan mengadakan mesyuarat pertamanya semalam untuk meneliti kedudukan hutang dan liabiliti kerajaan sebanyak RM1.1 trilion atau 75.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar setakat akhir 2018.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MoF) berkata, ini berikutan peningkatan hutang langsung kerajaan Persekutuan sebanyak RM54.2 bilion kepada RM741.0 billon daripada RM686.8 bilion pada tahun sebelumnya.
Peningkatan hutang langsung ini adalah untuk membiayai defisit fiskal, terutama bagi menampung komitmen pajakan perkongsian awam-swasta (PPP) dan perbelanjaan “off-budget” yang sebelum ini tidak dimasukkan ke dalam penyata kewangan kerajaan secara telus, katanya.
“Jumlah jaminan yang dtanggung kerajaan dan dibayar oleh kerajaan juga meningkat, khususnya bagi membiayai projek pengangkutan awam sedia ada yang sedang diteruskan.

“Peningkatan liabiliti ini bukanlah bagi membiayai projek infrastruktur baru, tetapi untuk menampung pembiayaan projek yang sedang dilaksanakan,” menurut MoF.
3 projek pengangkutan itu ialah Laluan Rel Pantai Timur, Transit Aliran Massa dan Transit Aliran Ringan.
MoF berkata, JPH itu akan mengenal pasti langkah untuk mengurangkan hutang dan liabiliti kerajaan ke paras lebih terkawal, di samping meningkatkan kecekapan pengurusan hutang dan liabiliti.
“Ini termasuklah pengkajian semula projek berkos tinggi dan pengenalpastian jaminan yang ditanggung dan dibayar kerajaan yang boleh distruktur semula.
“Langkah ini diperlukan kerana caj pembayaran balik hutang daripada pelbagai obligasi kewangan mengekang kerajaan daripada menyediakan peruntukan kepada program dan projek lain yang lebih produktif,” menurut kementerian itu.
MoF mengulangi bahawa pada masa ini, terdapat hutang yang dijamin kerajaan yang mempunyai kadar pembiayaan yang sama dengan entiti korporat tempatan bertaraf “AAA”.
“Bagaimanapun, kos pembiayaan ke atas hutang yang dijamin kerajaan seharusnya hampir setara dengan kos terbitan kertas hutang kerajaan seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS),” katanya.
Menurut MoF, setakat 31 Mei, 2019 kadar kupon MGS bagi tempoh 10 tahun adalah 3.78% setahun dan ini adalah antara kadar terendah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
JPH akan menyemak semula segala akta, prosedur dan perundangan berkaitan dengan hutang langsung kerajaan, jaminan kerajaan dan komitmen lain, kata MoF.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu