Mujahid: Jangan salah guna kebebasan media untuk sensasi isu agama, kaum


GEORGE TOWN,: Semua pihak tidak seharusnya menyalahgunakan dasar kebebasan media yang diamalkan Pakatan Harapan (PH) untuk memainkan isu kaum atau agama yang boleh menimbulkan rasa kebencian, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusuf Rawa.
Katanya, pihak pembangkang khususnya harus menggunakan kebebasan media yang diberikan untuk mewujudkan persaingan sihat yang boleh membawa kerajaan membentuk dasar yang lebih baik untuk dinikmati oleh rakyat.
“Kebebasan mestilah kebebasan dengan tanggungjawab. Lawan saya dalam soal dasar … bukannya mengenai kaum atau agama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Iftar Jalanan PH yang diadakan di Jalan Buckingham di sini malam tadi.
Mujahid yang juga naib presiden Amanah berkata, kebebasan media merupakan salah satu dasar yang diperjuangkan oleh PH sewaktu mengambil alih pemerintahan negara tahun lepas.
“Kita tidak pernah menyekat media kerana kebebasan media merupakan komitmen kita,” katanya.
Sementara itu kira-kira 2,000 pengunjung hadir memeriahkan program Iftar Jalanan yang julung kali diadakan anjuran PH Pulau Pinang.
Pengerusi PH Pulau Pinang merangkap Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, program itu merupakan program yang amat istimewa kerana dapat disertai oleh masyarakat berbilang kaum dan agama untuk turut merasai pengalaman berbuka puasa bersama masyarakat Muslim.
“Tujuan program ini adalah untuk menghimpunkan seluruh rakyat negeri ini tanpa membataskan penyertaan dari pelbagai bangsa dan agama.
Sejajar dengan semangat Malaysia Baru, adalah menjadi harapan kerajaan negeri agar Pulau Pinang terus pesat membangun dalam suasana penuh harmoni yang berpaksikan kepada prinsip keadilan, demokrasi, dan toleransi,” kata Chow ketika berucap pada majlis itu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu