Mujahid: Lawan saya dalam soal dasar
Semua pihak tidak seharusnya menyalahgunakan dasar kebebasan
media yang diamalkan Pakatan Harapan untuk memainkan isu kaum atau
agama yang boleh menimbulkan rasa kebencian, kata Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Dr Mujahid Yusuf.
Katanya pihak pembangkang
khususnya harus menggunakan kebebasan media yang diberikan ini untuk
mewujudkan persaingan yang sihat yang boleh membawa kerajaan membentuk
dasar yang lebih baik untuk dinikmati oleh rakyat.“Kebebasan mestilah kebebasan dengan tanggungjawab. Lawan saya dalam soal dasar … bukannya mengenai kaum atau agama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Iftar Jalanan Pakatan Harapan yang diadakan di Jalan Buckingham di George Town malam tadi.
Mujahid yang juga naib presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata kebebasan media merupakan salah satu dasar yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan sewaktu mengambil alih pemerintahan negara tahun lepas.
“Kita tidak pernah menyekat media kerana kebebasan media merupakan komitmen kita,” katanya.
Sementara itu kira-kira 2,000 pengunjung hadir memeriahkan program Iftar Jalanan yang julung kali diadakan anjuran Pakatan Harapan Pulau Pinang.
Pengerusi Majlis Pakatan Harapan Pulau Pinang merangkap Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata program ini merupakan program yang amat istimewa kerana dapat disertai oleh masyarakat berbilang kaum dan agama untuk turut merasai pengalaman berbuka puasa bersama masyarakat Muslim.
“Tujuan program ini adalah untuk menghimpunkan seluruh rakyat negeri ini tanpa membataskan penyertaan dari pelbagai bangsa dan agama.
Sejajar dengan semangat Malaysia Baharu, adalah menjadi harapan kerajaan negeri agar Pulau Pinang terus pesat membangun dalam suasana penuh harmoni yang berpaksikan kepada prinsip keadilan, demokrasi, dan toleransi,” kata Chow ketika berucap di majlis itu.
Menurutnya, program itu tidak terbatas kepada kehadiran orang awam sahaja, malah pelancong dari dalam dan luar negara, gelandangan, wakil-wakil rakyat, kakitangan kerajaan negeri, serta para pemimpin rumah ibadat Islam dan bukan Islam turut sama memeriahkan program itu.
Ulasan
Catat Ulasan