Penghantaran pulang sisa, prasyarat sambung lesen Lynas - Fuziah
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata perkara itu adalah ketetapan yang dibuat oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin yang meletakkan syarat penghantaran pulang residu itu ke negara asal Lynas, Australia.
"Saya juga difahamkan Yeo akan ke Australia pada pertengahan Jun ini untuk berunding berkenaan mengembalikan sisa buangan radioaktif dari kilang Lynas ini.
"Rakyat Malaysia harus memberi ruang kepada beliau untuk mencari jalan merealisasikan syarat itu dan terus memberi tekanan kepada Lynas untuk bertanggungjawab terhadap sisa mereka tanpa sebarang kompromi," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Fuziah yang juga Anggota Parlimen Kuantan berkata Lynas juga wajib mengotakan janji bertulis mereka pada tahun 2012 untuk mengembalikan sisa radioaktif dari kilang yang terletak di Gebeng di Kuantan, ke negara asalnya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa laporan media terhadap kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan Lynas di Jepun semalam, seharusnya dibuat secara menyeluruh dan bukan hanya kepada gambaran sensasi semata.
"Isu sisa buangan radioaktif Lynas turut diperkatakan dengan panjang lebar oleh Perdana Menteri tetapi bahagian itu tidak dilaporkan media...yang dilaporkan hanya sebahagian sahaja yang menyebut aspek pelaburan dan perlesenan sahaja, tanpa dikaitkan dengan sisa buangan radioaktif, " katanya.
Media semalam, melaporkan Dr Mahathir pada dialog dengan Kelab Koresponden Asing Jepun (FCCJ) di Tokyo, dilaporkan mengumumkan Malaysia akan membenarkan kilang Lynas di sini untuk terus beroperasi.
Pengumuman Perdana Menteri tersebut menamatkan ketidakpastian yang menyelubungi masa depan kilang Lynas bernilai US$800 juta (RM3.35 bilion) di Gebeng jika lesen operasi sementara yang perlu diperbaharui pada September depan digantung.
Ulasan
Catat Ulasan