RCI salah laku hakim: Peguam persoal tindakan peguam negara selepas 3 bulan


PETALING JAYA: Peguam terkenal, Mohamed Hanif Khatri mempersoalkan Peguam Negara, Tommy Thomas yang dilihat belum mengambil apa-apa tindakan selepas kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhan Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan salah laku hakim Mahkamah Rayuan dan Persekutuan.
Beliau berkata, peguam negara seolah-olah tidak mengambil langkah ke arah menubuhkan RCI selepas Tommy berkata, beliau “tidak terlibat” dan pertanyaan mengenainya hendaklah ditujukan kepada menteri terbabit.
Mohamed Haniff ketika dihubungi FMT berkata, mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 911) terma rujukan perlu ditetapkan berikutan afidavit seorang hakim yang mendedahkan dakwaan salah laku beberapa hakim yang tidak dinamakan.
Tambahnya terdapat beberapa persoalan yang perlu dijawab segera oleh peguam negara berhubung penubuhan suruhanjaya siasatan itu.
“Pertama, siapa yang akan sediakan semua terma rujukan itu dan sama ada ia telah disediakan atau belum?
“Jika ia belum disediakan, jadi apakah yang dibuat oleh peguam negara selama 3 bulan ini?”
Katanya, kerajaan tidak patut ditugaskan untuk mengendalikan perkara itu kerana ia memerlukan kepakaran mereka yang mahir dalam bidang undang-undang.
Tambahan lagi katanya, kerajaan telah bersetuju bahawa RCI perlu membuat keputusan tentang bagaimana penyiasatan itu hendak dijalankan.
Baru-baru ini Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan belum memuktamadkan perincian tentang RCI tersebut. “Saya akan beritahu kemudian. Pada masa ini kita belum muktamadkan apa-apa lagi,” katanya.
Hanif sebelum ini bertanya sama ada Tommy telah menjalankan tugasnya menasihati kerajaan dan menyediakan terma rujukan penubuhan RCI tersebut.
Menteri undang-undang Liew Vui Keong dilaporkan berkata, perkara itu berada di tangan peguam negara.
Pada 14 Februari hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer memfailkan satu afidavit 65 halaman yang menggariskan dakwaan salah laku dalam badan kehakiman.
Hamid mendakwa, dalam satu persidangan undang-undang antarabangsa di Kuala Lumpur tahun lepas, seorang hakim tertinggi menyindirnya di depan hakim lain kerana membuat penghakiman bertentangan dalam kes penukaran agama sepihak Indira Gandhi.
Berikutan itu beberapa pertubuhan, termasuk Majlis Peguam, Persatuan Peguam Sabah, Persatuan Peguam Sarawak, Persatuan Patriot Kebangsaan, Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Lawyers for Liberty dan Bersih 2.0 menggesa sebuah RCI diwujudkan bagi menyegerakan siasatan ke atas dakwaan itu.
Hamid mendakwa hakim kanan campur tangan dalam keputusan banyak rayuan kes dan bersekongkol dalam penipuan dilakukan nominee ahli politik tertentu yang mengikat kontrak dengan kerajaan.
Beliau juga mendakwa wujud campur tangan dalam keputusan majoriti Mahkamah Rayuan pada 2016 untuk mensabitkan mendiang bapa peguam Sangeet Kaur Deo dan pengerusi DAP, Karpal Singh kerana menghasut. Karpal dibebaskan daripada sabitan ersebut oleh Mahkamah Persekutuan pada Mac lepas.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu