Dana 1MDB: Presiden MCA halang kami jumpa SPRM - Kojadi


Presiden MCA Wee Ka Siong hari ini dituduh menghalang perjumpaan antara koperasi milik parti itu, Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi) dengan SPRM berhubung dana berkaitan 1MDB.
Pengerusi Kojadi, Ng Peng Hay berkata koperasi itu menerima geran RM15 juta daripada Yayasan 1MDB pada tahun 2012 untuk skim kredit mikro yang dibuka kepada belia.
Katanya, beliau mencadangkan kepada mesyuarat tergempar lembaga pengarah semalam supaya mereka memulangkan wang itu susulan kenyataan SPRM bahawa suruhanjaya berkenaan merancang untuk memperluaskan lagi senarai pelucutanhak ke atas dana berkaitan 1MDB.
Lembaga pengarah kemudian mengarahkan Ng untuk berjumpa dengan SPRM hari ini untuk menjelaskan kedudukan Kojadi dan mendapatkan nasihat dan panduan suruhanjaya itu.
Iklan
"Bagaimanapun, sebelum saya dapat membuat janji temu dengan SPRM, presiden MCA mengeluarkan arahan kepada semua pengarah Kojadi melalui media sosial untuk menghentikan perjumpaan dengan SPRM dan bertemu dengan pemimpin parti pada 1 atau 2 Julai.
"Saya membantah campur tangan oleh presiden MCA dalam urusan seharian Kojadi.
"Sebagai tanda protes, saya memutuskan untuk meletak jawatan sebagai ahli MCA," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, beliau bercadang untuk memanggil satu lagi mesyuarat tergempar lembaga pengarah untuk sekali lagi membentangkan cadangan mengembalikan RM15 juta itu.
Malaysiakini telah menghubungi Wee untuk ulasannya.
Minggu lalu, SPRM memfailkan permohonan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Amla) untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB berjumlah RM280 juta daripada 41 individu dan entiti.
Antara yang dinamakan adalah Umno bahagian Pekan, Umno bahagian Johor Bahru dan Badan Perhubungan Umno beberapa negeri seperti Kelantan, Selangor dan Pahang serta Wanita MCA dan Badan Perhubungan MCA Pahang.
Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki senarai terbaru individu dan entiti yang terlibat dalam kes permohonan perlucutan hak sivil berkaitan dana 1MDB akan dikeluarkan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu lagi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar