JPPM siasat jika Umno langgar akta atas dakwaan terima dana 1MDB
PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sedang meneliti dokumentasi Umno negeri dan bahagian yang dinamakan antara 41 penerima wang berkaitan 1MDB jika terdapat pelanggaran di bawah Akta Pertubuhan 1966 serta Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984.
Ketua Pengarahnya, Masyati Abang Ibrahim berkata tindakan itu diambil kerana beberapa memorandum yang diterima JPPM di ibu pejabatnya di sini antaranya mendesak Umno diharamkan atas alasan ia menerima wang berkaitan 1MDB.
“JPPM akan teliti memorandum berdasarkan peruntukan di bawah bidang kuasa JPPM. Pada masa sama, JPPM juga sedang dalam penelitian dokumentasi (Umno).
“Itu saja buat masa ini sebab benda ini ada (kes) di mahkamah,” katanya selepas melancarkan Jelajah Himpunan Sinergi Pertubuhan Kebangsaan hari ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memfailkan permohonan pelucuthakan sivil terhadap 41 individu dan entiti bagi mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB. Antara yang dinamakan ialah Umno, parti politik, yayasan dan syarikat.
Mengenai kemungkinan Umno diharamkan, Masyati berkata, JPPM akan memaklumkan jika berlaku sebarang pelanggaran akta.
Ditanya jika JPPM menetapkan masa untuk meneliti dokumentasi dan memorandum yang diterima, katanya, tiada tempoh ditetapkan kerana ada aspek yang perlu dilihat dari semasa ke semasa.
Ulasan
Catat Ulasan