PAS tidak sokong usul isytihar harta, kata Tuan Ibrahim


KUALA LUMPUR: PAS berpendirian tiada asas dan keperluan untuk menyokong usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang, mengisytiharkan harta bertujuan menghalang mereka menggunakan pengaruh sebagai ahli politik dan pemimpin, kata timbalan presiden parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Kita tak sokong usul ini, melainkan dipinda satu landasan undang-undang yang baru.
“Kalau sekadar usul sahaja, tiada tujuannya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong membentangkan usul bagi mewajibkan semua Ahli Parlimen serta pasangan dan anak mereka mengisytiharkan aset masing-masing menjelang 1 Oktober ini.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, hanya wakil rakyat kerajaan wajar membuat perisytiharan itu. Ini berbeza dengan wakil pembangkang yang tidak mempunyai aset atau kedudukan bagi membolehkan mereka mendapat manfaat atau mempengaruhi projek kerajaan.
Selain itu katanya, kerajaan perlu lebih teliti dalam mencadangkan sesuatu usul dan tidak bersikap gopoh dalam tindakannya berhubung sesuatu perkara.
“Teliti dan kaji implikasi dulu. Jangan sekejap buat, kemudian tarik balik,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Pada masa ini, hanya Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dikehendaki mengisytiharkan aset dan pendapatan mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun ia bukan dasar kerajaan dan tidak termaktub dalam undang-undang.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu