RM15 juta dari Yayasan 1MDB tiada kaitan dengan Najib, kata lembaga Kojadi


Lembaga pengarah Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi) malam tadi menyangkal dakwaan mengatakan Presiden MCA, Wee Ka Siong menghentikan pertemuan Pengerusi Ng Peng Hay dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan dana berkaitan 1MDB.
Lembaga itu berkata dakwaan mengatakan ia mengarahkan Ng bertemu SPRM hari ini juga adalah tidak benar.
“Dalam mesyuarat lembaga semalam, tidak ada resolusi meminta Ng bertemu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya atau mana-mana pegawai badan itu hari ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, lembaga pengarah Kojadi berkata geran RM15 juta yang diperkatakan itu tiada kaitan dengan akaun bekas perdana menteri, Najib Razak.
“Oleh itu, kedua-duanya tidak boleh dilonggokkan sekali.”
Terdahulu, Ng berkata Kojadi menerima “geran kewangan” RM15 juta daripada Yayasan 1MDB pada 2012 untuk melaksanakan skim mikro-kredit sosio-ekonomi “Skim Mikro Kredit Kojadi Bagi Belia”.
Selepas SPRM mengumumkan senarai 14 nama dalam saman pelucuthakan sivil minggu lepas dan akan ada lagi saman pelucuthakan terhadap mereka yang menerima wang 1MDB, Ng berkata dia memanggil satu mesyuarat lembaga tergempar semalam.
Dia membentangkan cadangan memulangkan geran itu kepada mesyuarat lembaga. Dia mendakwa lembaga mengarahkan dia bertemu badan anti-rasuah itu hari ini bagi menerangkan kedudukan koperasi dan meminta panduan dan nasihat.
“Bagaimanapun, sebelum sempat saya membuat temujanji dengan SPRM, presiden MCA mengarahkan semua pengarah Kojadi melalui media sosial supaya menghentikan pertemuan dengan SPRM dan bertemu pimpinan parti,” katanya.
Ng juga berkata dia membantah apa yang dikatakan “campurtangan” Wee dalam pengurusan harian Kojadi.
Lembaga pengarah Kojadi bagaimanapun berkata Wee memang ada secara bertulis menyampaikan hasrat bertemu mereka minggu depan, tetapi dia tidak pernah mencampuri perjalanan harian Kojadi.
Ia menambah hasrat Wee itu mematuhi hasil mesyuarat lembaga.
“Kojadi sentiasa dan akan terus menegakkan prinsip pengurusan profesional.
“Sama ada dahulu, sekarang atau di masa depan, keseluruhan lembaga ini mematuhi kod profesionalisme, ketelusan dan integriti yang ketat serta amalan operasi yang sah,” tambahnya.
Ng ketika dihubungi FMT terkejut dengan lembaga pengarah mengeluarkan kenyataan tanpa pengetahuannya.
Beliau mendakwa dia ada mesej-mesej WhatsApp antara dia dan Wee di mana presiden MCA itu memarahinya dan memberi amaran kepada mereka.
Beliau mendakwa mesej itu juga dihantar kepada semua ahli lembaga yang lain.
“Mereka boleh nafi,” katanya, “tetapi minit mesyuarat malam tadi dengan jelas menyatakan keputusannya. Semuanya secara hitam putih.”
Sementara itu, Kojadi berkata ia ada secara bertulis memaklumkan kepada SPRM mengenai geran RM15 juta itu awal tahun ini.
Katanya, SPRM menjawab semua perkara berkaitan 1MDB masih dalam siasatan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu