Najib mengaku dalam saman sivil wang SRC RM42 juta masuk akaunnya, kata peguam


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan rasuah dan pecah amanah jenayah melibatkan Najib Razak diberitahu hari ini bahawa bekas perdana menteri itu mengaku dalam satu saman fitnah wang RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Peguam Ranjit Singh yang mewakili bekas menteri pengangkutan Dr Ling Liong Sik dalam saman itu berkata, Najib membuat pengakuan tersebut dalam satu afidavit bagi menjawab penghujahan anak guamnya.
“Beliau mengaku dalam afidavit bersumpah bahawa wang RM42 juta itu daripada SRC,” katanya sewaktu diperiksa pendakwa ad hoc V Sithambaram.
Ranjit, yang merupakan saksi ke-55 pendakwaan berkata, dalam afidavitnya itu Najib berkata bahawa antara 24 Dis 2014 dan 6 Feb 2014, wang berjumlah RM42 juta dipindahkan ke akaun Ambank miliknya melalui 2 pengantara.
Najib bagaimanapun berkata, beliau secara peribadi tidak tahu wang itu dipindahkan ke akaunnya melalui Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn BHd.
Najib, 66, berdepan 3 pertuduhan pecah amanah jenayah, 1 pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan 3 pertuduhan pengubahan wang melibatkan dana SRC International sebanyak RM42 juta.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan di AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan dan pejabat perdana menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015.
Pada 22 Mei tahun lepas, Najib menarik balik samannya terhadap Ling berhubung dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu “mengambil wang rakyat” dalam isu derma RM2.6 bilion.
Peguam Najib, Hafarizam Harun berkata, mereka menarik balik saman fitnah itu kerana Najib perlu memberi perhatian “kepada perkara penting lain”.
Mahkamah Tinggi juga memerintahkan Najib membayar RM25,000 kepada Ling sebagai kos penarikan balik.
Ling, yang merupakan bekas presiden MCA, juga menarik balik tuntutan balasnya terhadap Najib.
Najib memfailkan saman tersebut pada Okt 2015 selepas Ling berkata bahawa perdana menteri pada masa itu tidak layak memimpin Malaysia selepas menerima kira-kira RM2.6 bilion, menurut laporan Wall Street Journal.
Ling juga berkata, tidak ada sebab wang daripada SRC International, yang merupakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan, perlu dimasukkan ke dalam akaun Najib.
Beliau berkata, ini menimbulkan tanggapan bahawa bekas perdana menteri itu tidak jujur.
Dalam pembelaannya, Ling berkata, presiden Umno itu gagal memaklumkan identiti pemberi derma, sumber dana dan bagaimana beliau membelanjakannya.
Katanya, oleh sebab Najib mengaku bahawa wang RM2.6 bilion dipindahkan ke akaun peribadinya, maka beliau bergantung pada pembelaan komen adil dan perlindungan bersyarat bagi kenyataan beliau.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu