Undi 18: Kebajikan anak muda lebih terbela
Demikian menurut seorang anak muda Muhammad Azril Aznan, 18, yang turut melahirkan rasa gembira dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan di Dewan Negara pada Rabu lepas.
“Selepas ini, bagi mereka yang berusia 18 sudah layak mengundi dan tentukan masa depan negara dan generasi seterusnya. Pada saya ia perkembangan yang sangat positif kerana kerajaan sudah pasti akan melihat mengenai kehendak dan keperluan kami yang berusia 18 tahun dalam membuat dasar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ketika membentangkan RUU itu berkata, pindaan itu selaras dengan amalan demokrasi dunia yang mana banyak negara maju seperti United Kingdom dan Jerman telah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.
Nuraifana Ariffin, 19, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang masih lagi menunggu tawaran pekerjaan, berkata peluang dalam pelbagai aspek khususnya di sektor pekerjaan akan lebih terbuka luas kepada anak muda.
“Saya belum punyai rezeki untuk menyambung pelajaran dan masih belum mendapat kerja. Buat masa ini saya berniaga dari rumah dengan menjual pelbagai tempahan makanan.
“Saya percaya ramai lagi yang berdepan perkara sama dengan saya di mana masih samar lagi masa depan kami. Jadi selepas ini mungkin kerajaan boleh lihat lebih jauh ke bawah berkenaan hal-hal berkaitan anak muda yang akan memulakan kehidupan khususnya di usia antara 18 dan 20 tahun,” katanya.
Bagi pasangan kembar Johan Ahmad Khair dan Jefrizan Ahmad Khair yang berusia 25 tahun berkata sudah pasti landskap politik negara menjadi lebih luas dan matang dengan penyertaan generasi yang lebih muda.
“Saya baru pertama kali merasai pengalaman sebagai pemilih ketika PRU-14 lepas. Ketika saya di usia 18 tahun, saya juga tertanya-tanya kenapakah kami tidak boleh mengundi, adakah peluang untuk suara kami didengar?
“Dengan peluang yang ada sekarang, kami fikir suara anak muda akan lebih terbela. Parti politik yang bertanding sudah tentu akan turut memberikan keutamaan kepada kebajikan belia dalam setiap manifesto termasuk menempatkan calon-calon daripada kalangan belia untuk menarik undi belia kepada mereka,” kata Johan.
Menurut Jefrizan secara tidak langsung umur mengundi pada pilihan raya yang diturunkan daripada 21 tahun kepaa 18 tahun akan memberi peluang kepada generasi muda untuk sama-sama menentukan masa depan negara.
Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata menurunkan umur mengundi ialah langkah awal memastikan penyertaan anak muda dalam menyuburkan amalan demokrasi semakin kukuh.
“Ia mampu memastikan setiap lapisan umur mempunyai peluang yang sama untuk memilih wakil rakyat berdasarkan penilaian mereka sekali gus membuktikan kerajaan mahu memastikan dasar mereka bersifat inklusif.
“Ini juga bermakna kerajaan tidak boleh meminggirkan keperluan dan cita rasa anak muda agar terus disokong dan didukung oleh undi anak muda,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan