Perlu anjakan dasar besar-besaran untuk tangani kemiksinan, kata Anwar

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa reformasi dasar menangani kemiskinan yang lebih baik, ketika kerajaan mendekati Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Beliau menggesa Pakatan Harapan mereformasikan dasar-dasar ekonomi dan kemiskinan yang lebih baik, daripada membuat “perubahan-perubahan kecil” daripada dasar-dasar sedia yang dibawa ke depan daripada RMK sebelum ini.
RMK12 meliputi tempoh 2021 hingga 2025.
Ini susulan laporan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Philip Alston yang mempersoalkan dakwaan Putrajaya mengenai pembasmian kemiskinan, kerana kerajaan menggunakan garis kemiskinan yang rendah dan tidak mencerminkan keadaan sebenar. Alston berkata garis kemiskinan rasmi tidak menggambarkan kos hidup di Malaysia dan mengecualikan penduduk-penduduk yang mudah terjejas dalam angka-angka rasminya.
Walaupun Anwar berkata kerajaan tidak semestinya menerima dakwaan-dakwaan secara bulat, beliau nampaknya mempertahankan pakar PBB itu, mengatakan dia bukan seorang sarjana biasa dan mempunyai kepakaran dalam isu kemiskinan.
Pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kaukus reformasi dan tadbir urus Parlimen, yang membincangkan garis kemiskinan nasional, beliau berkata ia berdasarkan angka-angka pada 1970-an, iaitu daripada RMK2, dan tidak berubah sedangkan kadar pertumbuhan dan pendapatan hari ini meningkat.
Anwar berkata sebelum Alston, isu sama pernah timbulkan oleh para profesor tempatan, termasuk Jomo Kwame Sundaram dan Mohd Nazari Ismail dari Universiti Malaya.
“Sebelum ini kita juga dimaklumkan tentang beberapa kajian dibuat oleh Khazanah iaitu ‘the absolute vs relative poverty conundrum’.
“Prof undangan di Universiti Malaya, Martin Ravallion, yang pernah bekerja di Bank Dunia, mempertikai kadar garis kemiskinan dan kadar kemiskinan 0.43%,” katanya.
Ravallion mencadangkan garis kemiskinan sebenar harus 3 kali lebih tinggi berdasarkan pertumbuhan ekonomi negara yang kuat.
Beliau berkata para penyelidik hanya boleh mengukur keadaan kemiskinan sebenar di Malaysia menggunakan “data mikro mentah” tinjauan isi rumah yang dijalankan Jabatan Perangkaan, yang pada masa ini tidak tersedia kepada orang ramai.
Anwar berkata isu kemiskinan harus dilihat sebagai mendesak kerana kerajaan sedang mengkaji dasar-dasar untuk RMK12.
Beliau berkata kadar kemiskinan 15% yang didakwa Alston mungkin lebih tinggi, seperti yang diramalkan oleh beberapa anggota kaukus hari ini.
“Dua profesor yang hadir hari ini meramalkan ia berada pada 20%,” katanya.
Anwar berkata kaukus juga mencadangkan satu seminar khas diadakan di Parlimen pada Oktober bagi membincangkan isu itu.
Semua ahli Parlimen, senator, ahli dewan, NGO, ahli akademik dan wakil rakyat akar umbi akan diundang ke seminar itu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu