Skandal 1MDB-Tanore: Jho Low atur bayaran deposit untuk tujuan seleweng - bekas CEO 1MDB


Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata demikian pada perbicaraan hari ke-15 kes Najib melibatkan dana 1MDB.
“Kesimpulannya, pengambilalihan TEHSB telah selesai melalui pembiayaan menggunakan pinjaman penyambung berjumlah RM 6.17 bilion dan terbitan Bon berjumlah ASD1.75 bilion. Terdapat lebihan yang banyak daripada hasil pembiayaan untuk pengambilalihan tersebut.
"Namun saya ingin tegaskan bahawa saya langsung tidak tahu menahu bahawa lebihan wang untuk pembayaran deposit keselamatan berjumlah ASD576,943,490.00 kepada Aabar adalah untuk diseleweng.
"Ia dibuat secara niat baik berdasarkan dokumentasi yang disediakan oleh Jasmine Loo (peguam 1MDB), Terence Geh (pengarah 1MDB) dan Tim Leissner (Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Asia).
"Saya pasti tidak akan meluluskan kiriman wang tersebut sekiranya saya tahu bahawa ia adalah untuk diseleweng.
"Setelah penyiasatan dilakukan barulah saya tahu yang deposit keselamatan ini diaturkan oleh Jho Low untuk membolehkan wang 1MDB masuk ke dalam akaun yang dikawal olehnya untuk tujuan penyelewengan,” katanya.
Terdahulu, ketika dirujuk kepada “1MDB board meeting minutes 4/2012” bertarikh 18 Jun 2012 oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram, saksi pendakwaan kesembilan itu berkata dalam mesyuarat tersebut beliau telah membentangkan mengenai transaksi pengambilalihan 100 peratus ekuiti TEHSB telah pun selesai.
"Selain itu, saya juga ada membentangkan mengenai pengarah serta urusan maklumat kewangan TEHSB. Antara maklumat penting adalah Pengerusi TEHSB adalah Wan Ahmad Shihab iaitu Pegawai Khas Perdana Menteri masa itu iaitu Najib.
"Nama beliau (Wan Ahmad) dimajukan oleh Jho Low kepada saya. Selain itu Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny iaitu CEO Aabar Investments PJS juga seorang pengarah dalam TEHSB. Ini adalah satu lagi faktor semasa itu yang meyakinkan saya akan kesehahihan hubungan 1MDB dengan Aabar," katanya.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu