Ukur kemiskinan: Biar berpijak di bumi nyata
“KDNK bukan suatu ukuran kebajikan, ia bukan ukuran terhadap bagaimana prestasi kita. Ia menghitung apa yang kita beli dan jual, tetapi ia turut berpotensi untuk menghala ke arah yang bertentangan daripada kebajikan,” katanya.
Ahli ekonomi, Joseph Stiglitz juga berpandangan bahawa KDNK bukan suatu ukuran yang baik untuk prestasi ekonomi sesebuah negara kerana ia bukan pengukur yang baik terhadap tahap kesejahteraan hidup.
Namun perbahasan terhadap kaedah pengukuran dan pendekatan yang tepat adalah penting kerana apa yang diukur akan memberi maklumat kepada apa yang kita lakukan. Jika kita mengukur perkara yang tidak tepat, maka kita akan lakukan perkara yang salah.
Perbahasan tentang ketidaksamaan pendapatan dalam sesebuah negara banyak tertumpu kepada pendapatan dan kekayaan 1 peratus golongan yang paling kaya dalam populasi sesebuah negara.
Laporan Oxfam International menunjukkan bahawa “8 orang di dunia memiliki kekayaan yang bersamaan dengan 3.6 bilion orang, yang juga merupakan golongan yang paling miskin”, dan “82 peratus daripada kekayaan global dimiliki oleh 1 peratus orang yang paling kaya”.
Namun, perhatian yang lebih mustahak perlu diberi kepada kemerosotan dan tidak berkembangnya keadaan kehidupan dalam kalangan isi rumah berpendapatan sederhana.
Pencapaian dalam pembangunan manusia bukan sahaja dinyatakan dalam aspek kuantiti seperti jangka hayat atau tempoh persekolahan, tetapi juga dalam aspek kualiti.
Adakah rakyat menikmati kualiti hidup yang baik atau sering mendapat penyakit atau menikmati kualiti udara yang tidak memuaskan?
Adakah kanak-kanak sekadar menghadiri sekolah tetapi tidak menguasai kemahiran dan pengetahuan yang akan melengkapkan mereka kepada masa depan yang lebih baik?
Adakah pekerjaan dapat menjamin seseorang itu untuk lebih berjaya, atau kebanyakannya hanya berkecimpung dalam kerja yang tidak selamat dan tidak terjamin?
Daripada perspektif pembangunan manusia, kemajuan sebenar hanya boleh dicapai dengan menjamin kualiti dalam pendidikan, kesihatan, dan seterusnya.
Tahap kesejahteraan hidup rakyat perlu dinilai dengan mengambil kira pelbagai dimensi dan tidak terhad kepada dimensi kewangan semata-mata. Dalam konteks ini, pendekatan pembangunan manusia wajar dijadikan paksi kepada rancangan pembangunan semasa.
Indeks Pembangunan Manusia (Human Development Index) yang dibangunkan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (United Nations Development Programme-UNDP) merupakan satu kaedah pengukuran yang menggabungkan elemen keupayaan manusia untuk menjalani kehidupan yang sihat dan sejahtera, diukur melalui kadar jangka hayat ketika kelahiran; keupayaan untuk memiliki pengetahuan, diukur melalui tempoh masa persekolahan; dan keupayaan untuk memiliki taraf hidup yang baik, diukur melalui pendapatan negara kasar.
Manakala Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (Multidimensional Poverty Index-MPI) mengenal pasti deprivasi atau penafian yang berlaku di peringkat isi rumah melalui tiga dimensi; kesihatan, pendidikan dan taraf hidup. Deprivasi yang diukur mempunyai pemberat tersendiri dalam mengukur kadar kemiskinan pelbagai dimensi seperti nutrisi, kadar kematian kanak-kanak, tempoh persekolahan, pemilikan aset, dan akses kepada perkhidmatan asas.
Justeru, laporan yang diterbitkan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tentang Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Profesor Philip Alston berkenaan keadaan kemiskinan di negara ini yang didakwa terlalu rendah dan tidak mencerminkan kos sara hidup sebenar serta tidak mengambil kira penduduk yang terpinggir dilihat sebagai suatu teguran terhadap takrifan dan kaedah penetapan kadar kemiskinan di negara ini.
Laporan tersebut juga mendakwa kadar kemiskinan sebenar adalah jauh lebih tinggi berbanding angka rasmi kerajaan dan terdapat keperluan bagi kerajaan menilai semula bagaimana kemiskinan diukur di negara ini supaya kesusahan sebenar yang dihadapi oleh rakyat Malaysia tidak ditutup dengan manipulasi statistik.
Pendedahan hasil misi Pelapor Khas PBB ke Malaysia ini menerima reaksi bercampur, bergantung kepada di pihak mana laporan ini dilihat. Tidak menghairankan ada yang bersikap defensif kerana kredibiliti kaedah pengukuran kemiskinan telah dipertikaikan. Rata-rata ahli ekonomi dan ahli akademik menyambut saranan laporan ini dengan terbuka kerana barangkali perkara ini sememangnya sudah sekian lama dibangkitkan.
Namun, perlu juga diperakui bahawa misi Profesor Philip Alston ini bukan semata-mata menilai situasi ekonomi dan kemiskinan, tetapi adalah terhadap situasi masyarakat yang hidup dalam kemiskinan tegar dan akses kepada hak asasi manusia.
Oleh kerana mandat Pelapor Tetap PBB ini adalah terhadap kesusahan hidup masyarakat dan perkaitannya dengan hak asasi manusia, wajar sekali konsep dan pendekatan berasaskan hak asasi manusia menurut keperluan tanpa mengira bangsa, keturunan, agama, jantina, kedudukan geografi, fahaman politik, dan lain-lain perbezaan bagi menangani jurang perbezaan kekayaan dan pendapatan yang semakin melebar dilaksanakan.
Ukuran tahap kesejahteraan hidup rakyat melalui pelbagai dimensi seperti jangka hayat, pendidikan, kesihatan serta tidak terhad kepada takrifan kemiskinan mutlak yang semata-mata melihat kepada dimensi kewangan dan pendapatan perlu menjadi pendekatan primer.
Pemenang Hadiah Nobel Ekonomi, Amartya Sen yang terkenal dengan teori kemiskinan adalah deprivasi keupayaan berkata: “miskin bukan bermaksud hidup di bawah suatu paras kemiskinan, tetapi mempunyai pendapatan yang tidak mampu untuk menampung sesuatu keperluan asas, dengan mengambil kira keadaan dan keperluan sosial persekitaran”.
Pertikaian terhadap kaedah dan pentakrifan kemiskinan tidak sepatutnya mengkaburkan fokus sebenar kepada agenda pembasmian kemiskinan yang lebih mustahak. Walau bagaimanapun, asas kepada program dan dasar perlu ditetapkan melalui pengukuran yang tepat supaya aspek pelaksanaan dapat dilakukan kepada kumpulan bersasar yang betul.
Ulasan
Catat Ulasan