Skandal 1MDB: Jho Low pulang AS$1 bilion, selesai kes dengan DoJ
Persetujuan yang dicapai menyelesaikan kes rampasan harta terhadap Low itu dimulakan di bawah Inisiatif Mendapatkan Semula Aset Kleptokrasi oleh DoJ.
DoJ menuduh Low sebagai dalang skandal penyelewengan lebih AS$4 bilion dari 1MDB, yang digunakan untuk membeli antara lain kapal pesiar Equanimity, pesawat peribadi, hotel, rumah agam, berlian, serta membiayai filem di Hollywood.
Penyelesaian semalam bagaimanapun bukan bermaksud pengakuan salah atau tanggungjawab oleh Low dan tidak juga dikaitkan dengan tindakan jenayah terhadapnya.
“Saya dengan sukacita mengesahkan bahawa satu penyelesaian menyeluruh dan global telah dicapai dengan kerajaan Amerika Syarikat,” kata Low dalam satu kenyataan melalui emel.
Low, yang sehingga ini hidup dalam buruan, sebelum ini dilaporkan berulang alik antara China dan Macau.
The Straits Times di Singapura malam tadi memetik sumber dekat dengan penyelesaian kes DoJ berkata Low kini menetap di Emiriah Arab Bersatu. Beliau baru-baru ini mendapat perlindungan suaka di sebuah negara ketiga, kata laporan itu.
DoJ adalah agensi antarabangsa pertama yang memperincikan peranan Low dan bekas perdana menteri Najib Razak dalam skandal 1MDB.
Najib sedang dibicarakan atas empat tuduhan salah guna kuasa melibatkan RM2.3 bilion dari 1MDB serta 21 tuduhan pengubahan haram wang berkenaan.
Bank pelaburan Goldman Sachs juga sedang merundingkan penyelesaian dengan DoJ. Bloomberg bulan lalu melaporkan bank pelaburan itu sedia membantu memulangkan dana yang diseleweng kepada Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs John Waldron dalam wawancara dengan Bloomberg berkata “kami mahu rakyat Malaysia dapat wang itu.”
Penyiasat di AS dan Malaysia berkata sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion diseleweng dari 1MDB oleh Low dan pegawai yang lain.
Malaysia tahun lalu memfailkan pertuduhan jenayah terhadap Goldman Sachs berhubung penglibatannya sebagai penaja jamin tiga penjualan bon yang mengumpulkan AS$6.5 bilion untuk 1MDB.
Ulasan
Catat Ulasan