Skandal 1MDB: Mahkamah London digesa mencelah dalam penyelesaian 1MDB-IPIC

Peguam yang mewakili Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan 1MDB menggesa Mahkamah Rayuan United Kingdom untuk mencelah dalam cabaran penyelesaian dengan syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Corporation (IPIC), dan subsidiarinya Aabar Investments.
Menurut portal berita perundangan Law360, peguam Toby Landau berkata IPIC dan Aabar hanya memulakan prosiding timbang tara itu terhadap MKD dan 1MDB untuk memastikan dakwaan penipuan tidak diselesaikan secara awam.
Dia berkata terma anugerah persetujuan yang diberikan Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London (LCIA) pada 2017 tidak adil, dan penyelesaian itu sebahagian daripada usaha untuk menutup penipuan melibatkan bayaran berjumlah AS$3.5 bilion oleh 1MDB kepada pihak yang dikatakan subsidiari Aabar.
Katanya lagi, pertikaian antara kerajaan Malaysia dengan IPIC dan Aabar berkenaan kesahan penyelesaian itu membabitkan kepentingan awam dan mahkamah ada "tanggungjawab besar" untuk mencelah.
"Responden mahu melakukan apa sahaja untuk membawa prosiding keluar dari mahkamah dan kepada timbang tara. Tetapi ada juga usaha di sini untuk mengganggu proses mahkamah UK," katanya seperti dipetik.
LCIA adalah syarikat bukan keuntungan dengan pengkhususan menyelesaikan pertikaian komersial.
Berbeza dengan mahkamah, prosidingnya adalah sulit termasuk selepas keputusan dicapai.
'Tidak menepati piawai perundangan'
Pada Mei 2017, LCIA dikatakan mengesahkan penyelesaian di mana 1MDB dan MKD setuju untuk membayar AS$1.2 bilion dan menanggung RM3.8 bilion secara prinsipal dan faedah, untuk dua bon yang sebelum itu dijamin IPIC.
Mereka juga setuju untuk memulakan perbincangan berkenaan dana yang perlu dibayar 1MDB terhadap "beberapa entiti tertentu", yang dipercayai merujuk kepada AS$3.51 bilion yang disalurkan ke sebuah syarikat bernama sama dengan Aabar, tetapi tiada kaitan dengan subsidiari IPIC itu.
Selepas pertukaran kerajaan tahun lalu, Malaysia pada 31 Oktober 2018 memohon perintah Mahkamah Tinggi London untuk mengenepikan anugerah persetujuan LCIA.
IPIC dan Aabar kemudian dilaporkan memulakan prosiding timbang tara baru pada November 2018.
Mahkamah Tinggi London menangguhkan dulu permohonan Malaysia untuk menunggu penyelesaian kes timbang tara itu. Malaysia telah mencabar penangguhan itu, yang membawa kepada prosiding Selasa lalu di mahkamah rayuan.
Menurut Landau, sebab untuk keputusan mahkamah tinggi tidak menepati piawaian undang-undang berkenaan prosiding timbang tara.
Law360 juga memetik dokumen mahkamah berkenaan IPIC dan Aabar yang menafikan tahu bahawa urus niaga tersebut tidak menguntungkan Malaysia, dan berkata "sukar dipercayai" penyelesaian itu diperolehi menerusi penipuan apabila pihak terlibat diwakili oleh firma guaman ternama.
Ia turut mengatakan peguam IPIC dan Aabar, Mark Howard berhujah bahawa pada tahap ini tiada sebab untuk mahkamah menggunakan kuasa penyeliaan untuk prosiding timbang tara.
"Hujah perayu bahawa isu seumpama itu hanya perlu diputuskan oleh mahkamah adalah salah," kata Howard seperti dipetik.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu