Skandal 1MDB-Tanore: 1MDB dipaksa bayar AS$1 bilion bagi nota murabaha, kata bekas CEO

KUALA LUMPUR: Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu perbicaraan Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, syarikat itu tiada pilihan kecuali sekali lagi membayar AS$1 bilion untuk menukar sahamnya dalam usaha sama dengan PetroSaudi International kepada nota murabaha.
Katanya, ketika itu, beliau percaya penukaran sajam kepada nota murabah ialah sebahagian daripada “sesuatu yang lebih besar untuk negara” kerana ia membabitkan strategi kerajaan kepada kerajaan.
“Ia adalah hubungan antara 1MDB dan PetroSaudi International yang memainkan peranan penting dalam hubungan strategik kedua-dua negara.
“Ketika itu, saya tidak nampak ia mencurigakan,” katanya ketika disoal peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah.
Beliau berkata, idea penukaran saham kepada nota murabaha pada 2010 diberikan ahli perniagaan, Low Taek Jho dan bekas pengarah eksekutif 1MDB, Tang Keng Chee yang turut dikenali sebagai Casey.
Bekas ketua pegawai pelaburan 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil, ditugaskan untuk mengendalikan penukaran saham itu kepada nota murabaha.
Shahrol berkata, lembaga pengarah 1MDB menandatangani satu pekeliling resolusi untuk syarikat itu membincangkan rancangan berkenaan.
Tetapi, Shafee menyifatkan pembayaran AS$1 bilion untuk nota Islam yang memerlukan 1MDB menyediakan tambahan AS$1.5 bilion ialah “cadangan paling tidak masuk akal”.
“Punca Sebab saya tanya anda mengenai nota murabaha itu kerana ini adalah keputusan bodoh atau satu keputusan untuk menipu 1MDB dan membuatkan syarikat itu kelihatan bodoh.”
Shahrol bagaimanapun berkata, itu hanya pendapat Shafee.
Shafee kemudian bertanya mengenai resolusi ditandatangani lembaga pengarah 1MDB pada Mac 2010.
Katanya, dokumentasi surat jualan saham, perjanjian dan jaminan di bawah bahagian lampiran hilang, begitu juga dengan nombor pengedaran.
Tetapi, Shahrol berkata, beliau ada ternampak lampiran itu ketika siasatan dijalankan.
“Dalam nombor edaran itu, itu adalah jawapan terbaik Gaik Kim yang merupakan setiausaha syarikat ketika itu.
“Dia yang mengaku dirinya ialah ibu saudara Jho Low dan (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng perlu mengeluarkan satu (kenyataan) penafian.”
Perbicaraan bersambung di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, esok.
Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang didakwa dimasukkan ke akaun AmBank beliau antara Feb 2011 hingga Dis 2014.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu