Skandal 1MDB-Tanore: Bekas CEO 1MDB tak tahu AS$700 juta daripada Jho Low sehingga tahun lalu

KUALA LUMPUR: Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, beliau “tidak suka” dengan saman pelucuthakan sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mendakwa beliau terbabit dalam pemindahan AS$700 juta kepada syarikat ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho.
Saksi pendakwaan kesembilan itu memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan 1MDB Najib Razak yang pihak berkuasa AS tidak pernah mendapatkan penjelasan daripada beliau mengenai pemindahan itu kepada Good Star Limited yang dikatakan dimiliki PetroSaudi International (PSI).
“Saya teliti laporan itu dan ia tidak mempunyai maklumat lengkap,” katanya ketika disoal peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah sama ada beliau sudah membaca saman sivil DoJ pada 2017.
DoJ mahu merampas pelbagai harta, karya seni, barang kemas dan juga hak ke atas dua filem Hollywood yang didakwa ada kaitan dengan wang 1MDB yang diseleweng.
Shahrol berkata, dalam saman sivil itu, beliau dinamakan “Pegawai 1MDB 2” manakala bekas pengarah eksekutif 1MDB, Tang Keng Chee atau Casey sebagai “Pegawai 1MDB 1”.
“Saya hanya ditunjukkan jejak wang dan bukti dokumen AS$700 juta kepada Good Star ketika siasatan pihak berkuasa pada 2018,” katanya sambil menambah Low dan Tang memperdayanya dengan dokumen palsu yang mengatakan Good Star ialah anak syarikat PSI.
Ditanya jika beliau mengenali sekutu Jho Low, Seet Li Lin yang menandatangani perjanjian disyaki itu bagi pihak Good Star dan 1MDB atas pemindahan AS$700 juta, Shahrol berkata, beliau tidak kenalnya.
Seet yang merupakan warga Singapura dan rakan sekelas Jho Low di Sekolah Perniagaan Wharton, dilaporkan bekerja dengan syarikat Jho Low, Jynwel Capital dari Nov 2012 hingga April 2017.
Shahrol berkata, beliau akan meletak jawatan pada 2009 jika tahu AS$700 juta akan dipindahkan kepada Good Star.
Shafee: Jika anda boleh kembali ke dahulu dan menjadi CEO semula, anda akan siasat Casey, Seet Li Lin dan Jho Low?
Shahrol: Saya akan letak jawatan serta-merta jika kita secara hipotesisnya boleh kembali ke masa itu. Saya masih percaya 1MDB ialah saluran strategik untuk Datuk Seri (Najib) dan saya mahu berkhidmat kepadanya dengan baik.
Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.
Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang didakwa dimasukkan ke akaun AmBank beliau antara Feb 2011 hingga Dis 2014.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu