Aduan daulah terpendam, pegawai bakal bertukar
Hampir 10 pegawai kanan kementerian didakwa disyaki
membocorkan maklumat kerajaan dan perkara berkenaan juga sudah
dibangkitkan beberapa menteri dalam mesyuarat kabinet.
Memetik
sumber yang tidak dinamakan laporan menyebut ada beberapa menteri sudah
membuat permintaan agar ketua setiausaha kementerian (KSU) atau pegawai
kanan masing-masing dipindahkan.Jelas sumber itu lagi, ketika ini sekurang-kurangnya lapan kementerian dilihat menghadapi masalah tersebut.
Kementerian yang dikaitkan dengan perbuatan yang dianggap sabotaj itu ialah Kementerian Pertanian dan Asas Tani; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Pendidikan; Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Kerja Raya; dan Kementerian Pembangunan Usahawan.
Isu gangguan daulah terpendam muncul tidak lama selepas PH berjaya menawan Putrajaya pada 9 Mei tahun lalu. Kesetiaan kepada BN dinyatakan sebagai antara punca berlaku kegiatan sabotaj dalam kalangan kakitangan awam.
Tidak lama selepas membentuk kerajaan PH melakukan beberapa perubahan jawatan membabitkan pegawai kanan. Bagaimanapun masalah itu dipercayai belum dapat ditangani sepenuhnya.
Baru-baru ini timbul isu pemberian
kontrak baja yang diberikan secara rundingan terus kepada Pertubuhan
Peladang Kebangsaan (Nafas), dibuat Menteri Pertanian dan Industri Asas
Tani, Salahuddin Ayub. Kontrak
bernilai RM1.4 bilion itu pada asalnya dibuat secara tender terbuka
namun Salahuddin mengaku beliau menulis surat kepada Perdana Menteri, Dr
Mahathir Mohamad, pada 7 Nov agar ia diberikan kepada Nafas.
Bagaimanapun untuk rekod, Nafas ialah badan yang memayungi ratusan ribu petani di negara ini.Seorang pemimpin Amanah kemudian mendakwa ada pegawai kanan di kementerian terbabit mensabotaj kerajaan dengan memberikan tender tersebut tanpa pengetahuan menteri.
Ekoran perkembangan itu Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mohd Sallehhuddin Hassan, dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Difahamkan, apabila seseorang pegawai dipindahkan ke JPA, ia bermaksud belum ada jawatan baru disediakan untuk mereka, namun gaji bulanan akan dikeluarkan seperti biasa.
Bayaran elaun pula akan ditangguhkan sehingga mereka disahkan ke tempat baru.
Menurut sumber itu bagi mengatasi masalah sabotaj dan kebocoran maklumat dalaman, kerajaan akan menyusun semula jawatan tertentu dan ia mungkin akan dibuat seawal Disember ini.
Ulasan
Catat Ulasan