KERUSI EMPUK: PEJUANG RAKYAT APA NAMANYA KALAU BEGITU MUDAH ALAH KEPADA KELETIHAN DAN KESEJUKAN?

Untuk kesekian kalinya, isu ketidakhadiran Ahli-Ahli Parlimen kerajaan ketika persidangan Dewan Rakyat terus berlaku lagi.
Image result for parlimen kosongKetika sesi kali ini saja sudah beberapa kali loceng terpaksa dibunyikan berikutan kehadiran tidak cukup kourum sehingga Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad turut memberi teguran mengenainya, baru-baru ini.
Apabila ia terus berlaku lagi, meskipun selepas teguran dibuat, bermakna teguran Perdana Menteri tidak memberi apa-apa erti bagi mereka.
Dalam hal ini, meskipun teguran Perdana Menteri berkenaan ketidakhadiran itu penting untuk diberi perhatian, tetapi yang lebih penting lagi ialah persepsi atau penilaian rakyat tentang sikap Ahli-Ahli Parlimen kerajaan tersebut.
Dengan mengambil lewa soal itu, sedangkan mereka diberi elaun kehadiran bersama penginapan dan elaun belanja harian lagi, sepatutnya tidak timbul masalah dalam hal ini.
Lagi pun, sidang Parlimen hanya diadakan empat kali dalam setahun dan empat hari saja dalam seminggu, takkanlah tidak boleh memberi keutamaan kepadanya?
Meskipun sebelum ini, pelbagai alasan serta hujah cuba diberikan berkenaan kehadiran yang buruk itu, jawapan beberapa Ahli Parlimen kerajaan kali ini nampaknya lebih menyakitkan hati rakyat mendengarnya.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul memberi alasan keletihan sebagai punca perkara itu berlaku.
Katanya, selain Ahli Parlimen terikat dengan program tertentu, mereka juga selalunya balik lewat malam sekitar pukul 12.00 sama ada kerana sidang Parlimen berlarutan sampai ke malam atau disebabkan mereka ada urusan lain.
Dengan itu, katanya, mereka jadi keletihan dan biasanya akan lewat sampai ke Parlimen pada sesi sebelah pagi.
Dalam keadaan tertentu, alasan Johari itu barangkali boleh jugalah diterima, tetapi alasan Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, rasanya bukan saja mengarut, malah tidak masuk akal sama sekali.
Kata beliau, adalah sukar bagi Ahli Parlimen untuk berada lama dalam Dewan kerana suhunya yang terlalu sejuk.
“Bukan mudah untuk kami duduk dalam jangka masa yang lama. Ada ketikanya ia sangat sejuk.
“Di mana-mana sahaja di (Parlimen) negara lain, anda tidak boleh jangka Ahli Parlimen terus duduk lama dalam dewan,” katanya.
Aduhhhh….apa punya alasan ni YB?
Bagaimana kalau Dewan Rakyat panas tanpa hawa dingin dan hanya menggunakan kipas saja?
Apa pula alasannya ketika itu?
Soalnya, kenapa setelah jadi kerajaan saja alasan sejuk ini kedengaran, sedangkan sewaktu dalam pembangkang dulu elok pula selalu hadir tanpa banyak rungutan?
Apa pun hujah yang mahu diberikan, Ahli-Ahli Yang Berhormat kerajaan ini janganlah sampai mengeluarkan alasan yang tak masuk akal, mengarut serta menyakitkan hati rakyat mendengarnya.
Mereka sudah dipilih sebagai pemimpin dan tiada alasan untuk meremehkan tanggungjawab yang telah diberi serta diamanahkan.
Jika sebelum menang, macam-macam janji boleh diucapkan, termasuk kononnya akan menyuarakan apa saja masalah rakyat di dalam Parlimen, kenapa setelah menang, tiba-tiba ada alasan letih, sejuk dan sebagainya?
Di mana nilai perjuangan dan kesungguhan mereka bekerja untuk rakyat kalau begitu mudah tewas hanya kepada keletihan dan kesejukan?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar