Perbicaraan kes rasuah Azeez, abang kekal di Mahkamah Sesyen

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pendakwaan untuk memindahkan perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya, Abdul Latiff, berjumlah RM144.5 juta ke mahkamah lebih tinggi.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan itu atas alasan kes yang difailkan terhadap 2 beradik itu di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla) tidak dilihat menimbulkan apa-apa keistimewaan dari segi undang-undang.
“Kes di bawah Akta SPRM dan Amla biasanya didengar di Mahkamah Sesyen di seluruh negara,” katanya dengan menambah bahawa mereka (Mahkamah Sesyen) tidak kurang kompeten untuk membicarakan kes berkenaan.
Mahkamah juga berkata, pasukan pendakwaan hanya memfailkan permohonan pindahan itu pada September, iaitu selepas mahkamah tersebut menetapkan tarikh perbicaraan untuk Azeez dan Latiff.
“Saya tidak nampak bagaimana perbicaraan di Mahkamah Sesyen boleh menimbulkan prejudis terhadap orang yang dituduh atau pihak pendakwaan,” katanya.
Timbalan pendakwa raya Baizura Kamal memberitahu mahkamah bahawa kes tersebut melibatkan isu undang-undang yang kompleks.
“Kami perlu memanggil saksi tokoh ternama seperti bekas menteri kewangan dan perdana menteri, selain pegawai kerajaan,” katanya.
Baizura juga berkata, permohonan itu juga tidak dibantah oleh pasukan pembelaan yang diketuai peguam M Athimulan dan Hisyam Teh.
Dalam pada itu, hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menetapkan 12 Disember untuk sebutan semula kes selepas mengetahui Mahkamah Tinggi menolak permohonan pindahan itu.
Timbalan pendakwaraya Nik Haslinie Hashim berkata, mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
Pada Januari, Azeez, bekas pengerusi Tabung Haji, dihadapkan dengan 3 pertuduhan rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 9 pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM139.3 juta.
Beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta daripada pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek pembinaan jalan raya di Perak dan Kedah antara 8 Disember 2010 dan 10 April 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana lebih tinggi.
Beliau juga didakwa atas sembilan pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah hampir RM140 juta daripada empat syarikat di sekitar Lembah Klang di sini antara tahun 2010 dan 2018.
Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Amla 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda.
Sementara itu Abdul Latif, 61, berdepan dua tuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez menerima rasuah berjumlah RM4 juta bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu