Skandal Isa Samad: Hanya orang gila tak catat urus niaga ratusan ribu - peguam

Bekas Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties, Ikhwan Zaidel berkata dia tidak membuat sebarang catatan berhubung pemberian RM3.9 juta kepada bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad, sebagai balasan urus niaga Hotel Merdeka Palace di Kuching, Sarawak pada 2014.
Ikhwan, 59, berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam belas Salehuddin Saidin ketika perbicaraan kes salah guna kuasa dan rasuah terhadap Isa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
"Saya tidak catit. Bayaran dibuat atas kepercayaan," katanya ketika ditanya adakah dia membuat apa-apa catatan berhubung pembayaran kepada Isa.
"Saya tak catit sendiri kerana ia duit saya," katanya yang merupakan saksi pendakwaan ke-16.
Kenyataan itu mengundang respons Salehuddin yang menyifatkan tindakan Ikhwan itu sebagai "gila".
"Maafkan saya, tapi hanya orang gila tidak catit urusan (melibatkan) beratus ribu.
"Tindakan kamu percaya kepada Zahid (Muhammad Zahid Md Arip, bekas pegawai khas Isa), Walaupun kamu ada peluang berhubung dengan Isa, tapi kamu tak buat, kamu tak catit. Maafkan saya ini semua orang gila sahaja buat begini," katanya lagi.
Zahid yang kini setiausaha politik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini didakwa menjadi perantara bagi Ikhwan dan Isa.
Salehuddin juga tidak berpuas hati dengan keterangan Ikhwan dan mendakwanya sebagai tidak boleh dipercayai.
Salehuddin: Kamu serahkan RM100,000 (bayaran pertama) dan langsung tiada catitan di mana-mana?
Ikhwan: Ya.
Salehuddin: Kamu sendiri pun tak ade catitan?
Ikhwan: Ya, ia duit saya sendiri.
Salehuddin: Keterangan kamu bohong kerana tidak mungkin bagi seorang tidak buat catitan, dan serahkan kepada orang ketiga?
Ikhwan: Tidak setuju Yang Arif.
Salehuddin: Kamu setuju kononnya kamu bayar RM3 juta secara beransur-ansur?
Ikhwan: Setuju.
Salehuddin: Kamu mesti ada catitan untuk rekod?
Ikhwan: Tak setuju.
Salehuddin: Keterangan kamu bohong semata-mata?
Ikhwan: Tidak setuju langsung.
Dalam perbicaraan sebelum ini, Ikhwan berkata dia membuat sembilan bayaran berasingan kepada Isa - menerusi Zahid - antara Julai 2014 hingga Disember 2015.
Isa, 70, dituduh salah guna kuasa dalam urusan pembelian hotel itu oleh Felda di mana membeli melebihi harga nilai pasaran iaitu RM153 juta. Dia turut didakwa menerima rasuah RM3 juta daripada Gegasan Abadi selaku pemilik hotel itu.
Salehuddin berkata lagi, mustahil Ikhwan mampu mengingat semua bayaran yang dibuat terhadap Isa tanpa sebarang catatan atau rekod.
Salehuddin: Masa kamu bagi (wang kepada) Zahid, kamu catit untuk tujuan rekod?
Ikhwan: Tidak.
Salehuddin: Adakah kamu fikir boleh mengingati semula? Macam mana kamu sahkan berapa kamu sudah bayar?
Ikhwan: Tak setuju.
Salehuddin: Sekali lagi saya bagi tahu kamu, kamu bohong di mahkamah?
Ikhwan: Tidak setuju.
Salehuddin: Tidak mungkin untuk kamu mengingati tarikh kamu buat pembayaran?
Ikhwan: Tak setuju, SPRM ada rekod.
Salehuddin: Rekod apa? Boleh tunjuk? tiada rekod, Kamu sendiri tidak ingat bila kamu bayar? Tarikh ini diberi oleh sprm yang kamu percaya?
Ikhwan: Tidak setuju.
Salehuddin: Adakah kamu setuju di mahkamah? Kamu tak kira, tidak catit, ini tunjukkan kamu tiada asas untuk mahkamah percaya kamu?
Ikhwan: Tidak setuju.
'Tiada keperluan hubungi Isa'
Ketika pemeriksaan semula kemudiannya, timbalan pendakwa raya Afzainizam Abdul Aziz bertanya sekali lagi kenapa dia tidak membuat catatan tentang pembayaran.
Ikhwan berkata ia tidak perlu memandangkan sudah ada rekod bank.
"Setiap kali kami bayar kepada Zahid, kami hanya ingat balik, jumlah terakhir pembayaran. Kamu tidak perlu rekod, ada rekod bank setiap kali Azizi beri wang kepada saya," katanya merujuk kepada Azizi Abd Wahab, pengarah JV Evolution yang menjadi syarikat perunding dalam urus niaga pembelian hotel itu.
Afnainizam turut bertanya Ikhwan kenapa dia tidak menghubungi Isa Samad selepas membuat pembayaran.
"Setiap kali membuat bayaran kepada Zahid, tiada aduan daripada Isa Samad. Jadi tiada masalah (maka tiada keperluan untuk menghubunginya)," jawab Ikhwan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA

Ustazah hilang akhirnya dijumpai di Kuala Kangsar