5 kes di mahkamah, 2020 Najib terus curi tumpuan pentaksub

Bekas perdana menteri Najib Razak dilihat akan terus kekal menjadi perhatian umum sepanjang tahun depan berdasarkan penampilannya di mahkamah untuk berdepan tuduhan-tuduhan daripada 5 kes jenayah.
Tiga kes sedang sedang berlangsung termasuk tuduhan penyalahgunaan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan terhadap pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
Dalam kes itu, beliau juga didakwa dengan 3 tuduhan pengubahan wang haram dan 3 tuduhan pecah amanah mambabitkan pemindahan RM42 juta ke akaunnya daripada bekas unit 1MDB.
Hakim memerintahkan Najib membela diri pada 11 Nov, dan beliau kini sedang memberi keterangan. Tidak pasti berapa ramai saksi yang akan dipanggil oleh pihak pembelaan. Perbicaraan disambung semula pada 6 Jan depan.
Sumber terdekat dengan pihak pendakwaan memberitahu FMT bahawa beliau menjangkakan perbicaraan itu akan tamat pada suku pertama tahun depan.
“Hakim memerintahkan pembelaan mengemukakan keterangan saksi kepada pihak pendakwaan untuk mempercepatkan perbicaraan,” katanya.
Dalam kes ke-2, Najib menghadapi 4 tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
Kes itu, yang ditangguhkan pada 13 Nov, masih berada di peringkat pendakwaan dengan pembelaan masih melakukan pemeriksaan balas terhadap bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, saksi pendakwaan ke-9. Beliau berada di kandang saksi sejak 23 Sept.
Dalam kes ke-3 yang sedang berlangsung, Najib dituduh menggunakan jawatannya untuk mendapatkan kekebalan daripada tindakan undang-undang berhubung tuduhan beliau meminda laporan audit 1MDB pada 2016.
Bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengannya.
Perbicaraan bagi kes ke-2 dan ke-3 akan disambung pada 13 Jan, tetapi terdapat kemungkinan ditangguhkan sehingga kes SRC International selesai.
Dalam 1 daripada 2 kes yang masih belum dibicarakan, Najib dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah menghadapi 6 tuduhan pecah amanah melibatkan dana berjumlah RM6.6 bilion. Tarikh perbicaraan dikosongkan bagi memberi laluan kepada kes SRC International.
Najib juga berdepan 3 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM27 juta . Tarikh perbicaraan untuk kes itu ditetapkan pada Jun.
Peguam AG Kalidass berkata beliau menjangkakan sebahagian perbicaraan akan mengambil masa untuk diselesaikan kerana Najib perlu hadir dalam semua prosiding.
“Saya jangkakan 1 atau 2 kes akan meleret hingga 2021,” katanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

GANG SETAN RUPANYA...!!!

Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar

Adat dalam kehidupan masyarakat Melayu